Al-Sultan Abdullah (tengah) bersama Raja-Raja Melayu pada Perbincangan Khas di Istana Negara, hari ini. FOTO Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah (tengah) bersama Raja-Raja Melayu pada Perbincangan Khas di Istana Negara, hari ini. FOTO Istana Negara.
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan ahli Dewan Rakyat supaya mempamerkan solidariti dengan memberi keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu, maka kemelut politik dapat diakhiri dengan segera.

"Dan kesemua ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat, berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

"Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri kesembilan itu, maka Kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis pandemik.

Dalam pada itu, katanya, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

"Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat.

"Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera," katanya.

Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 6:07 PM