SATU laluan ke Kampung Peneh, Hulu Terengganu ditenggelami banjir akibat hujan lebat dari semalam. FOTO Nazdy Harun
SATU laluan ke Kampung Peneh, Hulu Terengganu ditenggelami banjir akibat hujan lebat dari semalam. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: "Dalam kegelapan malam saya harungi banjir sambil mendukung anak bongsu sejauh 100 meter untuk ke balai raya berhampiran berikut perkarangan rumah ditenggelami banjir," kata Razali Mat Rani, 44, dari Kampung Peneh, dekat sini.

Menurutnya, hujan berterusan sejak petang semalam mengakibatkan air naik mendadak dan memenuhi perkarangan rumah mencecah kedalaman satu meter.

Katanya, bimbang keselamatan ahli keluarga, dia kemudian mengarahkan isteri bersama anak sulung berusia 12 tahun ke balai raya terlebih dahulu.

"Ayah yang tinggal bersama turut berpindah ke rumah berdekatan dan kira-kira jam 2 pagi saya mengambil keputusan untuk ke balai raya bersama anak bongsu.

"Dalam kegelapan malam saya harungi banjir sedalam satu meter dan sejauh kira-kira 100 meter untuk ke balai raya untuk berlindung," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, melihat paras air kembali surut dia mengambil keputusan untuk pulang pada 8 pagi bagi melihat keadaan rumahnya.

Katanya, saban tahun mereka sekeluarga akan berdepan banjir yang melanda kampung terbabit dan sudah menjadi kelaziman berpindah ke balai raya sebanyak empat atau lima kali.

Sementara, jirannya, Che Rosidah Che Ismail, 40, berkata, dia turut berpindah ke balai raya selepas kediamannya dinaiki air.

"Melihat keadaan semakin membimbangkan saya bersama anak dan emak mengharungi banjir sebelum dibantu penduduk dengan membawa saya ke balai raya menggunakan bot.

"Kedudukan kampung yang berhampiran Sungai Peneh dan Sungai Berang menyebabkan limpahan air berlaku dengan mendadak apabila hujan lebat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Peneh, Che Khalid Jusoh, 57, berkata, pusat pemindahan di balai raya kampung itu dibuka secara tidak rasmi pada 11.30 malam tadi.

"Seramai 57 mangsa dari 19 keluarga berpindah sebelum banjir mula surut pada 4.30 pagi.

"Biasanya fenomena kepala air di kawasan bukit berhampiran mengakibatkan berlakunya banjir di kawasan kampung ini dan sekiranya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 11:42 AM