MUHAMMAD Luqman Haqim (kiri) menujukkan lokasi dia terserempak dengan harimau belang ketika mahu memancing di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Taman Dovenby Fasa 2. FOTO Ihsan pembaca
MUHAMMAD Luqman Haqim (kiri) menujukkan lokasi dia terserempak dengan harimau belang ketika mahu memancing di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Taman Dovenby Fasa 2. FOTO Ihsan pembaca
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Seorang pemuda menganggap pesanan guru silat untuk mengamalkan doa Nabi Sulaiman antara sebab dia terselamat ketika terserempak harimau belang sewaktu mahu memancing di kawasan ladang sawit berhampiran Taman Dovenby Fasa 2 di sini, semalam.

Muhammad Luqman Haqim Muhamad Ghazali Lim, 22, berkata, dia pergi berseorangan ke kawasan kolam memancing yang terletak di dalam ladang kelapa sawit, tidak jauh dari rumahnya, kira-kira 1.40 tengah hari, sebelum dikejutkan dengan kemunculan 'pak belang' terbabit.

Beliau berkata, dia sepatutnya pergi ke situ bersama dengan seorang rakan dikenali sebagai Hakimi untuk memancing ikan haruan berikutan isterinya baru melahirkan bayi sulung mereka, namun ketika itu Hakimi belum sampai.

Katanya, ketika berseorangan di hutan, sementara menunggu kedatangan Hakimi, dia ada terhidu bau seakan bau kambing jantan, namun tidak begitu menghiraukannya, sebelum dikejutkan dengan kehadiran harimau dewasa berkenaan.

"Saya hampir tidak pernah masuk hutan berseorangan kerana selalunya akan berteman, jadinya tadi (semalam) tergerak hati saya untuk membaca doa Nabi Sulaiman. Kemudiannya, saya pun pergi berseorangan menuju kolam pancing.

"Ketika hampir tiba di kolam itu, saya melihat sekeliling sebelum dikejutkan dengan penampakan harimau terbabit yang terus mengaum, ketika itu dan betul-betul sedang memerhatikan saya, umpama kami saling bertentangan mata.... ketika itu jantung bagaikan mahu 'luruh'.

"Sejurus itu, saya kembali membaca doa Nabi Sulaiman sambil mengundur langkah beberapa langkah dalam jarak 10 meter sebelum terus lari sehabis mungkin menuju sebuah kuil berhampiran untuk meminta pertolongan," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Menurutnya, dia tidak pasti sama ada harimau itu turut mengejarnya, itu namun mengakui sangat bersyukur kerana terselamat.

Katanya, kejadian itu dinyatakan kepada pengurusan kuil berkenaan, namun ia pada mulanya tidak begitu dipercayai pihak berkenaan.

Tetapi selepas itu, ngauman harimau sekali lagi kedengaran dalam tempoh beberapa minit selepas itu dan disusuli dengan bunyi monyet.

"Orang di kuil yang terletak di atas kawasan berbukit itu juga nampak situasi monyet lari di samping melompat-lompat seperti ada 'sesuatu' melalui kawasan itu.

"Kemudiannya, saya ke rumah kawan saya berhampiran situ untuk meminta bantuan untuk menghubungi pihak berkuasa seperti bomba dan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff ketika dihubungi berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dan kawalan di lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 8:32 AM