ZARINA (tengah) menunjukkan pukat hanyut dengan saiz mata pukat melebihi 25.4 sentimeter (sm) yang dikhuatri mengancam spesies dilindungi seperti penyu dan ikan lumba-lumba. FOTO Aminah Yusof
ZARINA (tengah) menunjukkan pukat hanyut dengan saiz mata pukat melebihi 25.4 sentimeter (sm) yang dikhuatri mengancam spesies dilindungi seperti penyu dan ikan lumba-lumba. FOTO Aminah Yusof
Siti Aminah Mohd Yusof

Bayan Lepas: Tiga ekor ikan lumba-lumba ditemukan mati terdampar di kawasan pantai Tanjung Bungah dan Batu Ferringhi tahun ini dipercayai akibat penggunaan pukat hanyut dengan saiz mata pukat melebihi 25.4 sentimeter (sm).

Selain itu, dua ekor penyu turut menjadi mangsa dengan kes terbaharu membabitkan seekor penyu Agar betina seberat 250 kilogram yang turut mempunyai kesan tetakan di bahagian cangkerangnya 5 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Zarina Zainuddin, berkata pihaknya mengesyaki penyu itu tersangkut pada pukat dan kesan tetakan itu berkemungkinan berlaku ketika nelayan memotong pukat semasa proses melepaskannya ke laut.

"Kes pertama membabitkan penyu Lipas Mac lalu manakala penyu jenis Agar yang dijumpai cedera pada September masih dirawat di Pusat Konservasi Penyu Pantai Kerachut dan semakin pulih," katanya pada sidang media di hari ini.

Beliau berkata, penggunaan pukat hanyut melebihi saiz mata pukat 25.4 sm dengan nilai sitaan sebanyak RM16,500 terbabit adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1985.

"Penggunaan pukat jenis ini dikhuatiri memerangkap spesies terancam dan dilindungi di perairan Pulau Pinang seperti penyu dan ikan lumba-lumba," katanya.

Menurutnya, bermula Januari sehingga kini Jabatan Perikanan Pulau Pinang turut menyita sebanyak 1,561 unit bubu naga dianggar bernilai RM234,150 di sekitar perairan negeri ini.

"Kita dapati setakat ini secara keseluruhan, terdapat peningkatan dalam jumlah rampasan kira-kira lima peratus berbanding tahun lalu dengan Jabatan Perikanan Pulau Pinang komited menjalankan rondaan dan operasi di darat dan laut secara berkala dan bersepadu.

"Ini termasuk membabitkan kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan negeri bagi membanteras isu pelanggaran peraturan dan perundangan selain mempergiat program kesedaran demi menjamin sekuriti makanan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 2:24 PM