Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil haris


Petaling Jaya: Satu laporan polis diterima berhubung kenyataan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang menyentuh berkenaan orang bukan Melayu dilantik sebagai perdana menteri.

Perkara itu didedahkan peguam, Khairil Khalid yang mewakili Kit Siang ketika beliau dirakam percakapan lebih kurang satu jam di Balai Polis Sea Park, di sini, hari ini.

"Kami difahamkan ada satu laporan berkenaan hantaran Tan Sri (Kit Siang) dan siasatan dibuat di bawah inkuiri polis buat masa ini tiada kesalahan lagi.

"Polis sudah ambil keterangan dan mereka akan tentukan (ada berlaku kesalahan atau tidak) tetapi setakat ini semua okay. Tan Sri beri jawapan baik dan kerjasama pihak polis juga baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai merakam keterangan hari ini.

Menurutnya, pihak polis mengajukan 27 soalan yang mana Kit Siang dikatakan memberi kerjasama baik dan menjawab semua soalan yang diberi.

Katanya, setakat ini tiada siasatan susulan namun akan dimaklumkan oleh pihak polis sekiranya ada keperluan.

KIT Siang hadir di Balai Polis Sea Park bagi memberi keterangan. FOTO Asyraf Hamzah
KIT Siang hadir di Balai Polis Sea Park bagi memberi keterangan. FOTO Asyraf Hamzah

Sementara itu Kit Siang menjelas, hantaran yang dimuat naik itu adalah ucapannya kepada penuntut Malaysia di United Kingdom ketika lawatannya ke negara itu.

Katanya, ucapannya ketika itu sekadar menjelaskan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, mana-mana individu layak menjadi perdana menteri tanpa mengira kaum.

"Hantaran di blog dan Facebook merupakan ucapan saya ketika lawatan ke England dan Scotland di mana saya menerangkan di bawah Perlembagaan Persekutuan mana-mana rakyat Malaysia layak menjadi perdana menteri.

"Walaupun bukan Melayu layak menjadi perdana menteri, saya katakan yang ia tak akan berlaku dalam tempoh 100 tahun.

"Namun saya juga menjelaskan harapan saya agar kita tidak jadi seperti Amerika Syarikat (AS) yang melihat Barrack Obama dilantik sebagai presiden hanya selepas 230 tahun," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Kit Siang hadir untuk dirakam percakapan di Balai Polis Sea Park, dengam ditemani dua anaknya, Lim Guan Eng dan Lim Hui Ying.

Vateran DAP itu dilihat masuk ke balai terbabit jam 9.34 pagi hari ini bersama dua peguam sebelum keluar lebih kurang sejam kemudian.

Sebelum itu, Kit Siang dalam satu kenyataan mengesahkan akan memberi keterangan kepada PDRM berhubung satu kenyataan dikeluarkannya di Manchester, United Kingdom 29 November lalu.

Katanya, kenyataan itu berkaitan Impian Malaysia yang dibuat ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia di sana.

Dalam satu kenyataan di media sosialnya, Kit Siang mendakwa Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 12:38 PM