LIM Kit Siang dipanggil PDRM berhubung kenyataan dikeluarkan mengenai Impian Malaysia dan perdana menteri bukan Melayu.
LIM Kit Siang dipanggil PDRM berhubung kenyataan dikeluarkan mengenai Impian Malaysia dan perdana menteri bukan Melayu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang akan memberi keterangan berhubung kenyataannya yang menyentuh kemungkinan bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri, Rabu ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman (Siasatan/Perundangan), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, keterangan Kit Siang akan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Kit Siang yang juga Penasihat DAP.

"Ia berhubung penulisan dimuat naik di blog beliau pada 30 November lalu yang menyentuh isu perlembagaan berhubung perlantikan Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes terbabit masih dalam siasatan pihak polis dan orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

"Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa prihatin terhadap isu sensitif dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian negara," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Kit Siang mengesahkan beliau akan memberi keterangan kepada PDRM berhubung kenyataannya yang menyentuh kemungkinan bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Beliau memaklumkan kenyataan berkaitan Impian Malaysia itu dibuat ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 10:32 PM