LIM Kit Siang. FOTO arkib NSTP
LIM Kit Siang. FOTO arkib NSTP
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang mengesahkan akan memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataannya yang menyentuh kemungkinan bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, kenyataan berkaitan Impian Malaysia itu dibuat ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu.

"Saya dituduh membuat kenyataan provokatif apabila saya mengatakan bahawa Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.

"Tiada niat sedemikian. perlembagaan bukannya dokumen provokatif, (ia) asas kepada kesatuan rakyat Malaysia yang mesti dipertahankan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Khamis lalu, Kit Siang berkata polis sedang mencari beliau susulan kenyataannya di Manchester kepada pelajar Malaysia yang mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri.

Dalam ucapannya itu, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata beliau berharap Malaysia tidak perlu menunggu lama seperti Amerika Syarikat (AS) untuk mempunyai pemimpin daripada kalangan minoriti.

Beliau merujuk kepada pelantikan bekas Presiden AS, Barack Obama yang menjadi orang kulit hitam pertama dipilih menerajui negara itu, kira-kira 230 tahun selepas negara itu mencapai kemerdekaan.

Susulan kenyataan Kit Siang itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Hasmuni Hassan berkata, kenyataan veteran DAP itu menunjukkan sikap sebenar parti diwakilinya dan dianggap tidak sesuai dengan situasi semasa di Malaysia.

"Beliau (Kit Siang) sepatutnya menghormati orang Melayu dan Umno yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kit Siang nampaknya tidak pernah belajar daripada sejarah, apatah lagi menghormati hubungan sesama rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Ucapan 'Impian Malaysia' di Manchester sangat mengguris perasaan orang Melayu di tanah air," katanya.

Kit Siang menjelaskan beliau setuju dengan kenyataan bahawa orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia adalah 'kenyataan fakta' tetapi bukan 'kenyataan realiti'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 2:04 PM