YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menyaksikan proses pemasangan landasan pertama projek ECRL selepas menyempurnakan gimik perasmian pemasangan landasan di Tapak Stesen ECRL Seksyen 10, Gebeng. FOTO Bernama
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menyaksikan proses pemasangan landasan pertama projek ECRL selepas menyempurnakan gimik perasmian pemasangan landasan di Tapak Stesen ECRL Seksyen 10, Gebeng. FOTO Bernama
Asrol Awang


Kuantan: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian pemasangan landasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pertama di tapak Stesen ECRL Seksyen 10 di Gebeng, di sini, hari ini.

Turut mengiringi baginda, Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Selain itu, turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Perasmian yang disempurnakan Al-Sultan Abdullah itu menandakan titik permulaan yang penting untuk pemasangan landasan sepanjang 94 kilometer dari stesen Bandar Pelabuhan Kuantan (KPC) di Gebeng, di sini ke Dungun, Terengganu.

Pemasangan landasan itu dijangka mengambil masa antara tiga dan empat bulan untuk dilengkapkan.

Selepas itu, projek itu akan disambung untuk memasang landasan dari stesen KPC ke Temerloh dan menuju ke arah utara di Dungun ke Kota Bharu, dan diakhiri dengan Temerloh ke Jalan Kastam, Selangor.

Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC), sebuah syarikat induk CCC-ECRL, Wang Tongzhou berkata, pihaknya berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian itu.

"Perasmian ini bukan saja menandakan peristiwa penting tetapi juga merealisasikan era baru untuk proses pembinaan infrastruktur mega kereta api ECRL di Malaysia.

"Pemasangan landasan yang dilancarkan baginda berdua menandakan komitmen kami untuk membanggakan Malaysia dengan kemajuan, inovasi, dan integrasi kesinambungan mobiliti yang bermakna.

"Kami akan meneruskan usaha dengan mengukuhkan dedikasi kami untuk kecemerlangan, keselamatan, dan kesinambungan komuniti, inspirasi kami adalah untuk mencipta sistem pengangkutan rel yang merangkumi aspirasi Malaysia terhadap masa hadapan yang terhubung," katanya.

Pembinaan landasan ECRL yang asas dan terletak di stesen KPC, merangkumi fungsi yang penting seperti Pusat Kawalan Operasi Pembinaan Kereta Api (CROCC), Bengkel Produksi Konkrit Sleeper, Trek Sementara, dan Bengkel Kimpalan Landasan.

CROCC akan menggunakan sistem pengurusan untuk mengendalikan operasi pintar, arahan visual, dan menganalisis data yang merentasi seluruh rangkaian pengangkutan rel.

Selain itu, untuk memudahkan bahan pengangkutan trek, enam lokomotif diesel yang diubah suai sudah tiba pada Oktober lalu.

Laluan rel sepanjang 665 kilometer (km) yang dianggarkan bernilai RM50.27 bilion menghubungkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 2:18 PM