JAMBATAN sementara yang dibina oleh penduduk hanya boleh dilalui motosikal selepas Jambatan Sungai Lubok Mulong yang menjadi laluan alternatif membabitkan empat kampung iaitu Kampung Pasir Hor, Kampung Pasir Jelatang, Pasir Seribong dan Kampung Rupek runtuh pada Jumaat lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
JAMBATAN sementara yang dibina oleh penduduk hanya boleh dilalui motosikal selepas Jambatan Sungai Lubok Mulong yang menjadi laluan alternatif membabitkan empat kampung iaitu Kampung Pasir Hor, Kampung Pasir Jelatang, Pasir Seribong dan Kampung Rupek runtuh pada Jumaat lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Penduduk mengambil inisiatif membina jambatan sementara sepanjang dua meter selepas tebing di kepala Jambatan Sungai Lubok Mulong yang menjadi laluan alternatif antara empat kampung, runtuh pada Jumaat lalu.

Empat kampung berkenaan adalah Kampung Pasir Hor, Kampung Pasir Jelatang, Pasir Seribong dan Kampung Rupek.

Penghulu Mukim Pasir Jelatang Mohd Nafi Said berkata, sebaik mengetahui insiden runtuhan tebing jambatan itu, tindakan segera diambil dengan memaklumkan perkara berkenaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Saya dimaklumkan baik pulih tebing yang runtuh akan dilakukan dalam jangka masa terdekat berikutan ia menjadi nadi kepada penduduk sekitar sebagai jalan pintas utama.

"Pada pagi semalam, sekurang-kurangnya 10 penduduk bergotong-royong mengambil inisiatif membina jambatan sementara bagi memudahkan urusan harian selepas tebing kepala jambatan itu runtuh akibat hakisan tanah," katanya.

Penduduk Pasir Jelatang, Wan Mohd Zulfahmi Wan Mustafa, 45, berkata, dia berterima kasih kepada penduduk yang bermandi peluh membina jambatan sementara yang menjadi jalan alternatif bagi penduduk keluar dan masuk selepas tebing jambatan itu runtuh sejak dua hari lalu.

"Walaupun pembinaan jambatan sementara ini hanya boleh dilalui oleh motosikal, namun sekurang-kurangnya saya tidak perlu melalui jalan yang jauh untuk menghantar anak ke sekolah sementara menunggu ia dibaik pulih oleh agensi berkaitan.

"Jambatan ini menjadi nadi penting kepada ibu bapa untuk berulang-alik menghantar anak mereka ke sekolah setiap hari," katanya.

Sementara itu, Hamzah Yusof, 57, berkata, dia yang tinggal di Kampung Lundang sudah lama tidak menggunakan laluan berkenaan terkejut apabila melihat tebing kepala jambatan runtuh, namun mujurlah ada jambatan sementara yang dibina oleh penduduk.

"Sekiranya tidak ada jambatan sementara yang dibina ini, mungkin saya terpaksa berpatah balik dan jarak perjalanan menjadi lebih jauh.

"Saya melihat kebanyakan kereta yang mahu melalui jambatan ini terpaksa berpatah balik memandangkan jambatan sementara yang dibina ini hanya boleh dilalui oleh motosikal," katanya.

Media melaporkan, tebing sebuah jambatan di Kampung Jelatang runtuh menyebabkan penduduk di beberapa kampung terpaksa mengambil masa agak lama untuk keluar ke bandar utama.

Jambatan Sungai Lubok Mulong menjadi tumpuan penduduk walaupun ada jalan utama berikutan mahu mengelakkan kesesakan terutama pada hari bekerja.

Tebing itu dilihat merekah pada 7 pagi Jumaat lalu dan rekahan menjadi semakin lebar sehingga berlaku runtuhan lebih dua meter pada 2 petang hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 2:57 PM