PENDUDUK meninjau keadaan tebing yang runtuh di jambatan Sungai Pedu di Kampung Tanjung Siam, Pedu. FOTO Ihsan Pembaca
PENDUDUK meninjau keadaan tebing yang runtuh di jambatan Sungai Pedu di Kampung Tanjung Siam, Pedu. FOTO Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman


KIRA-KIRA 500 penduduk di Kampung Tanjung Siam, Pedu, di Padang Terap, bimbang keselamatan mereka terancam apabila berlaku hakisan tebing sungai pada bahagian jambatan yang digunakan setiap hari.

Jambatan sepanjang 50 meter di Sungai Pedu itu dibina sejak 50 tahun lalu menghubungkan penduduk kampung terbabit dengan Kampung Krongsai dan Kampung Tanah Merah.

Penduduk, Kim Fong Kiat, 50, berkata, kejadian tebing runtuh disedarinya pagi semalam ketika mahu melintasi jambatan itu untuk pergi ke dusun durian di Kampung Krongsan, 8 pagi, selepas hujan lebat malam kelmarin.

“Jambatan ini adalah jalan pintas yang menghubungkan penduduk untuk melakukan aktiviti harian pergi ke kebun untuk menoreh dan ke dusun buah-buahan selain menghantar anak ke sekolah rendah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pedu dan keluar ke Pekan Kuala Nerang.

“Biarpun hanya boleh dilalui oleh penunggang motosikal tetapi ia menjimatkan masa penduduk daripada terpaksa menggunakan jalan dan jambatan lain yang lebih jauh,” katanya.

Fong Kiat berkata, penduduk kampung baru saja bergotong royong membaik pulih jambatan itu pada 2 Februari lalu menggantikan papan yang reput serta membuat lantai simen.

Katanya, mereka menggunakan peruntukan sendiri kerana kepentingannya kepada penduduk.

Seorang lagi penduduk, Bian Ai Proom, 53, berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terpaksa mengambil tindakan menutup jambatan itu kepada orang ramai petang semalam bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, penduduk kampung kini terpaksa menggunakan jalan yang lebih jauh sekaligus menjejaskan aktiviti harian mereka.

“Jambatan ini sangat berguna untuk penduduk kampung, walaupun lantainya hanya kayu tetapi ia masih kukuh dan kerana itulah penduduk sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk membaik pulih.

“Saya harap agensi berkaitan akan segera meninjau keadaan tebing runtuh di sini dan melakukan sesuatu, jika tidak, kami bimbang jambatan ini akan runtuh atau hanyut dibawa air sungai deras semasa hujan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 10:17 AM