ORANG ramai berkunjung ke Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani.
ORANG ramai berkunjung ke Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani.
Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: Karnival Kerjaya sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani berlangsung di Perkarangan Stadium Bukit Jalil di sini, tadi, menjadi daya tarikan kepada pencari kerjaya terutama lepasan universiti.

Lepasan sarjana psikologi perkembangan Universiti Putra Malaysia (UPM), Clarisha Lubaton, 26, berkata, dia melihat banyak tawaran kerjaya bersesuaian dengan bidang dipelajari.

"Pada mulanya saya tidak menaruh harapan tinggi bagi graduan Sains Kemanusiaan untuk memperolehi jawatan sesuai.

"Ini kerana kebanyakan sektor yang membuat pameran adalah dalam sektor perbankan dan teknologi.

"Namun apabila turun ke setiap reruai yang ada, mereka memberi saranan mengenai kerjaya sesuai dan ia banyak membantu saya," katanya.

Selain lepasan universiti, karnival terbabit turut mendapat perhatian pencari kerja mahu menaik taraf kerjaya lama mereka.

Salah seorang pengunjung M.Kuberapathi, 24, berkata, dia sedang mencari pekerjaan baru yang sesuai.

"Karnival seperti ini sangat membantu untuk pekerja yang mahu menaik taraf pekerjaan lama yang dirasakan tidak sesuai. Saya mencari padanan kerja baharu sepadan dengan pengalaman dan sasaran pendapatan.

"Saya sendiri berhasrat ingin mencari prospek lebih stabil dalam sektor perniagaan dan logistik. Ini penting kerana peningkatan kos sara hidup memerlukan peluang kerja dengan pendapatan lebih baik," katanya.

Khazanah Nasional sendiri menawarkan 1,900 pelbagai jawatan dari bukan eksekutif sehinggalah eksekutif.

Dalam pada itu syarikat itu juga giat memperkenalkan dua program iaitu Khazanah Graduate Trainee Program dan Khazanah Youth Development Program dengan mensasarkan lepasan universiti dan pekerja kemahiran mahu menyertai syarikat berkenaan.

Dalam karnival itu, sebanyak 45,000 peluang pekerjaan disediakan selain pameran dari 63 agensi kerajaan dan swasta sepanjang tiga hari penganjurannya.

Selain Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP ) dan Lembaga Tabung Haji antara agensi yang menyertai karnival terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 3:20 PM