ANGGOTA JSPT mengiringi sepasang suami isteri ke hospital selepas mereka terperangkap dalam kesesakan jalan raya. FOTO Ihsan JSPT
ANGGOTA JSPT mengiringi sepasang suami isteri ke hospital selepas mereka terperangkap dalam kesesakan jalan raya. FOTO Ihsan JSPT
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Tindakan pantas tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) membantu mengiringi kereta dinaiki ibu hampir bersalin yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas hingga ke hospital wajar dipuji.

JSPT dalam satu hantaran di Facebook berkata, tiga anggota yang bertugas sebagai peronda Lebuhraya Lembah Klang Baharu (NKVE) terkesan dengan sepasang suami isteri yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

"Kejadian bermula apabila seorang lelaki bersama isterinya yang sakit mahu bersalin memohon bantuan untuk mengiringi kenderaan mereka ke Hospital Sungai Buloh.

"Pasangan suami isteri itu cemas apabila terperangkap dalam kesesakan jalan raya lalu diiringi anggota bertugas dan selamat sampai ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

JSPT memaklumkan wanita berkenaan kini selamat menerima rawatan di hospital.

"Syabas dan tahniah di atas tindakan murni tiga anggota trafik dalam membantu pengguna jalan raya. Polis dan masyarakat berpisah tiada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 8:19 PM