Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jawatankuasa khas yang dibentuk Kerajaan Persekutuan bagi menstabilkan harga barang keperluan di Sabah, Sarawak dan Labuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mencari ikhtiar lain untuk menangani kos sara hidup di tiga wilayah Borneo itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sudah merangka dua program khusus untuk menyeragamkan harga barang keperluan di tiga wilayah itu yang lebih tinggi berbanding Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, dua program yang sudah dirangka jawatankuasa khas itu ialah penyeragaman harga barang dari pelabuhan ke pelabuhan yang dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM40 juta dan pengedaran barang keperluan seperti gas memasak menerusi kaedah 'community drumming' dengan peruntukan RM225 juta setahun.

"Pembentukan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis makan malam di Labuan malam tadi.

"Fokus utama jawatankuasa khas itu ialah menyeragamkan harga barang keperluan di Sabah, Sarawak serta Labuan dan kita juga sedang memikirkan apakah lagi ikhtiar lain yang perlu dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak Tahun 2023, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sebanyak tujuh ambulans pacuan empat roda, dua pikap, dua Proton X70, lima Perodus Ativa, lapan Perodua Aruz, 48 motosikal, sebuah bas dan dua enjin bot yang bernilai RM7.4 juta diserahkan kepada APM Sarawak pada majlis itu.

Mengulas lanjut, Armizan yang memangku portfolio Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, Anwar komited untuk memastikan Kerajaan Perpaduan melaksanakan ikhtiar sama ada jangka pendek, sederhana dan jangka panjang untuk menangani isu harga barang keperluan itu.

"Jika kita tidak dapat selesaikan keseluruhannya, pasti ada aspek tertentu yang kita dapat kurangkan untuk memastikan kestabilan harga yang munasabah untuk rakyat kita di Sabah Sarawak dan juga Labuan.

"Kita lihat harga dan bekalan kini sudah stabil namun harga di Sabah, Sarawak serta Labuan masih tinggi dan logistik tidak boleh dijadikan alasan kerana ladang ternakan ayam misalnya pub ada di tiga wilayah itu, jadi apa yang menyebabkan harga ayam tinggi ialah makanan ternakan yang terpaksa diimport.

"Inilah yang diteliti oleh jawatankuasa khas yang disertai KPDN sebagai urus setia dan membabitkan Kementerian Pertanian, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan serta wakil kerajaan Sabah, Sarawak serta Perbadanan Labuan," katanya.

Sementara itu, Uggah berkata, JPBN Sarawak kini sedang menunggu keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika ada keperluan untuk mengeluarkan garis panduan pada musim perayaan Krismas berikutan peningkatan kes Covid-19 global.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 6:16 PM