Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Oleh Mohd Roji Kawi


KERAJAAN Sarawak boleh membuat keputusan sendiri mengenai prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini kerana Sarawak mempunyai undang-undang yang sudah diwartakan dan diluluskan selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Justeru katanya, Sarawak tidak menghadapi masalah untuk memutuskan SOP sendiri seperti yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan, sebelum ini.

"Kerajaan Sarawak sudah mewartakan Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam yang dikuatkuasakan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri.

"Menerusi ordinan itu, Sarawak dibenarkan untuk memutuskan SOP sendiri berhubung langkah-langkah perlu untuk melaksanakan PKP dalam usaha mengekang penularan COVID-19," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama, Kuching, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur hari ini yang melarang kerajaan negeri melaksanakan SOP baharu tanpa merujuk Kerajaan Persekutuan

Ketika mengumumkan keputusan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan memahami setiap negeri prihatin dengan situasi semasa, tetapi kerajaan negeri tidak mempunyai akta khusus untuk berbuat demikian dan keputusan negeri boleh dicabar di mahkamah.

Katanya, tindakan undang-undang hanya boleh dilaksanakan di negeri itu jika ia diwartakan dan diluluskan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Mengulas lanjut, Uggah berkata, sebelum ini Ismail Sabri juga sudah mengumumkan Sarawak dibenar melaksanakan peraturan SOP sendiri yang sesuai dan dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan.

"Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam kita diiktiraf kerana semua dasar asasnya berpandukan kepada apa yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi disesuaikan dengan keadaan di Sarawak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata JPBN hari ini memutuskan semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan kos penginapan kuarantin dan kos ujian Covid-19 akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak.

"Bagaimanapun, bagi bukan rakyat Sarawak sama ada dari Semenanjung, Sabah, Labuan dan bukan warga negara yang balik dari luar negara masuk ke Sarawak, mereka akan menanggung sendiri kos kuarantin dan kos ujian CovidD-19.

"Arahan ini berkuat kuasa sehingga 31 Ogos," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 6:58 PM