Saifuddin pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Stesen Parol Daerah (SPD) Muallim di Slim River, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Saifuddin pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Stesen Parol Daerah (SPD) Muallim di Slim River, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Muhamad Lokman Khairi


Tanjung Malim: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihati Lawyers for Liberty (LFL) supaya tidak memutar-belitkan isu penguasaan bahasa Melayu dalam proses pembaharuan pasport.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah menolak sebarang permohonan direkodkan hanya kerana rakyat negara ini gagal menguasai bahasa kebangsaan itu.

"Saya tidak pernah sebut bahasa Melayu menjadi syarat untuk dapatkan pasport. Takkan fakta semudah itu saya naif sehingga tak tahu. Jadi LFL tidak perlu putar belit lebih.

"Hakikatnya tiada penolakan permohonan kerana bahasa, malah jumlah pasport yang kita keluarkan tahun ini adalah 2.3 juta.

"Kalau ada penolakan contohnya mereka pemegang pasport negara melakukan kesalahan di luar seperti tinggal lebih masa, apabila membuat permohonan semula pasport sudah semestinya ada semakan dan mungkin berakhir dengan tidak lulus.

"Tetapi kerana bahasa Melayu...tiada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini Kementerian Dalam Negeri (KDN) Daerah Muallim, dekat Slim River, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Mohamad; Ketua Pengarah Rela, Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Semalam, Pengarah LFL, Zaid Malek dilaporkan berkata menteri itu terkeliru mengenai syarat-syarat kewarganegaraan melalui penaturalisasian atau pendaftaran dengan syarat kewarganegaraan sebagai perkara undang-undang.

"Mengenakan syarat seperti itu adalah menyalahi undang-undang, keterlaluan dan akan menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai," kata Zaid seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, sebagai warganegara adalah menjadi kewajipan untuk menguasai bahasa Melayu selaras martabatnya sebagai bahasa rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara yang kita tekankan adalah setiap warganegara Malaysia apabila berurusan di kaunter kerajaan paling kurang boleh berbahasa Melayu.

"Baik LFL atau pihak lain, jangan putar belit sampai seolah-olah syarat permohonan adalah bahasa, padahal kita tak pernah ungkap.

"Saya anjurkan semua warganegara termasuk LFL utamakan dahulu bahasa Melayu," katanya.

Terdahulu, seorang wanita mendakwa diherdik oleh pegawai imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Johor gara-gara tidak tidak fasih berbahasa Melayu semasa memohon pembaharuan pasport anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:06 PM