SSM
SSM
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang melengkapkan maklumat tambahan bagi mengukuhkan pembuktian kesalahan seperti diarahkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung pendedahan Harian Metro berkaitan penipuan pelaburan 'patuh syariah' membabitkan kerugian mencecah RM1 bilion.

SSM berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kertas siasatan ini sudah dilengkapkan dan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pertimbangan dan arahan lanjut.

"Berdasarkan kepada status terkini, kertas siasatan dimajukan semula kepada Bahagian Siasatan SSM untuk siasatan tambahan bagi mengukuhkan pembuktian kesalahan serta mengkaji sabitan kesalahan tambahan mengikut peruntukan Akta Syarikat 2016," katanya kepada Harian Metro tadi.

Akhbar ini menerusi laporan bersiri bermula 22 Jun lalu mendedahkan 500 orang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan patuh syariah dengan nilai kerugian mencecah RM1 bilion.

Syarikat terbabit akan menampilkan diri mereka dengan memakai sut berjenama, mempamerkan kenderaan mewah dan rumah besar serta menunjukkan ciri Islam bagi memperdaya orang ramai untuk melabur.

Malah bagi meyakinkan pelabur mereka turut menampilkan wajah tokoh agama, pendakwah bebas dan selebriti yang kononnya turut melabur di syarikat terbabit sedangkan perkara itu tidak berlaku.

Susulan laporan ekslusif Harian Metro, SSM yang menerima aduan daripada mangsa membuka kertas siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 1:17 PM