FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Zakat Pulau Pinang (ZPP) mendedahkan ada individu di negeri itu yang mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melebihi RM300,000 selepas berusia 55 tahun sanggup memohon bantuan rumah melalui Skim Inapan Kasih yang diperkenalkan agensi terbabit.

Berikutan itu, ZPP terpaksa mengetatkan segala syarat permohonan supaya wang pembayar zakat diuruskan dengan berhemah walaupun agensi berkenaan mendapat kecaman dan dimarahi pelbagai pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Datuk Amran Hazali berkata, pihaknya kerap menerima permohonan yang dibuat oleh individu yang cuba mengambil kesempatan terhadap skim bantuan rumah yang ditawarkan kepada asnaf tidak berkemampuan.

"Apa yang kita dapati mereka ini akan guna pelbagai cara, contohnya antara syarat bagi sesiapa yang ingin memohon skim ini (bantuan rumah) perlu ada tanah sendiri.

"Bila mendengar syarat ini, mereka pula sanggup beli tanah semata-mata nak dapatkan bantuan, perkara sebegini sudah ternyata salah yang bila kita kenal pasti memang kita akan tolak terus permohonan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Apresiasi Sukarelawan Pengemaskini Data dan Penyerahan Saguhati Jawatankuasa Kariah Negeri Pinang di Dewan Wisma Al Ansor Masjid Al Muhajirin Seberang Jaya di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Roslan Ahmad.

Dalam majlis berkenaan, Amran menyampaikan taklimat kepada lebih 100 sukarelawan berhubung usaha ZPP termasuk cabaran yang dihadapi agensi berkenaan apabila terpaksa mengetatkan syarat permohonan terutamanya dalam Skim Inapan Kasih.

Menurut Amran, ia kerana beliau mendapati ada individu yang memiliki simpanan KWSP lebih RM300,000 tergamak membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan perumahan yang ia berharap sukarelawan dapat membantu menyalurkan maklumat tepat supaya wang pembayar zakat hanya diberikan kepada asnaf yang layak.

Dalam pada itu, Amran berkata, bantuan bina rumah terbabit bertujuan untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada asnaf fakir atau miskin.

"Ia juga sebagai salah satu penyelesaian kepada masalah di Pulau Pinang dengan menyediakan kediaman baharu buat mereka," katanya.

Untuk rekod, ZPP menyerahkan 22 unit rumah kepada asnaf yang layak tahun lalu dengan peruntukan berjumlah lebih RM1.33 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 2:53 PM