DATUK Lokman menasihati pengguna jalanraya ketika operasi ‘Op Patuh’ Bersepadu 2023 dijalankan di Jalan Teluk Likas hari ini.FOTO Mohd Adam Arinin
DATUK Lokman menasihati pengguna jalanraya ketika operasi ‘Op Patuh’ Bersepadu 2023 dijalankan di Jalan Teluk Likas hari ini.FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tiada masa ambil lesen dan proses remeh. Itu antara alasan diberikan 23,748 pengguna jalan raya yang dikenakan notis selepas dikesan tidak memiliki lesen memandu di seluruh negara.

Jumlah itu diperoleh hasil pemeriksaan terhadap 554,372 kenderaan dalam operasi selama 14 hari yang dilancarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesalahan itu adalah yang tertinggi berjaya dikesan sepanjang Op Patuh Bersepadu 2023 yang berakhir pada 24 November lalu.

Menurutnya, kebanyakan yang melakukan kesalahan itu terdiri daripada individu berusia 15 hingga 35 tahun.

"Sepanjang operasi Op Patuh Bersepadu, JPJ turut mengeluarkan notis terhadap 17,447 kenderaan kerana cukai jalan tamat tempoh dan 13,857 kenderaan yang dikesan tidak mempunyai perlindungan insurans.

"Manakala notis lain yang dikeluarkan adalah membabitkan kesalahan teknikal (12,191 notis) tiada lesen vokasional (4,902 notis) dan lebih muatan (2,329 notis)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi berkenaan di Taman Awam Teluk Likas, Jalan Tun Fuad Stephan, di sini, hari ini.

Lokman berkata, pihaknya turut mengesan tujuh kesalahan utama iaitu memotong barisan, melanggar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Menurutnya, JPJ turut mengambil tindakan tegas terhadap 4,797 pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan.

"JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada pemilik atau pemandu yang masih tegar melanggar peraturan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 4:09 PM