RAFIZI Ramli. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
RAFIZI Ramli. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengingatkan kedua-dua sayap parti itu mengangkat idealisme perjuangan kerana cabaran didepani ketika ini sudah berbeza terutama dalam mendapatkan kembali sokongan golongan muda.

Beliau menegaskan, cabaran paling besar yang perlu dihadapi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR ialah sebahagian besar golongan muda tidak lagi memberikan sokongan.

"Cabaran saudara saudari ialah golongan muda era ini baik lelaki dan wanita yang kesedaran politiknya datang dari rasa tidak puas hati.

"Dalam keadaan mana-mana kerajaan di dunia sekarang berdepan cabaran perubahan itu, yang menjadi pembangkang akan mendapat kelebihan kerana apa yang pembangkang perlu lakukan hanya mengapi-apikan rasa tidak puas hati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dan Ketua AMK, Adam Adli Abd Halim.

Rafizi berkata, satu-satunya yang boleh membantu pergerakan sayap parti itu untuk menjadi penggerak dan pemimpin yang berkesan hanya menerusi idealisme.

Tegasnya, hanya idealisme berupaya menguatkan azam untuk terus membina kekuatan, menyantuni rakyat, membawa idea baharu yang kreatif dan terus memastikan pergerakan sayap berkenaan menjadi tonggak kekuatan kepada parti.

"Kalau idealismenya adalah mengenai pangkat, kedudukan, kerjaya, jawatan, berapa kerat sangat yang akan mendapat peluang ini dan kalau mendapat peluang itu, berapa kerat sangat boleh tahan dan boleh memikul cabaran yang diutamakan ini.

"Ini kerana kita bukan lagi di zaman dahulu, kalau zaman dahulu ada jawatan kerajaan, maknanya kaya raya, zaman sekarang kalau ada jawatan kerajaan, kalau salah sikit, bukan sahaja pihak berkuasa akan menangkap, parti akan buang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan seluruh pimpinan sayap parti untuk terus kekal dalam perjuangan.

Katanya, sudah tidak ramai pimpinan PKR daripada generasi pertama yang kekal dalam parti berkenaan.

"Sama ada dia tercicir, habis gas awal, dia putus asa, dia kecewa dan akhirnya masuk parti lain. Sebab itu saya kembali kepada ketentuan bahawa Allah SWT itu sebenarnya adil.

"Kami yang dahulu susah untuk menggerakkan parti tetapi senang meyakinkan parti kerana situasi masyarakat ketika itu, sebaliknya yang berlaku ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 11:22 AM