KAWASAN rendah di Kampung Tersang yang berada di pinggir Sungai Golok mula di naiki air akibat hujan berterusan sejak dua hari. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KAWASAN rendah di Kampung Tersang yang berada di pinggir Sungai Golok mula di naiki air akibat hujan berterusan sejak dua hari. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di daerah Pasir Mas menjadikan jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 400 orang.

Kesemua mangsa banjir membabitkan 103 keluarga itu ditempatkan di tujuh PPS di tiga daerah membabitkan Pasir Puteh, Bachok, dan Pasir Mas.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS yang masih beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu yang menempatkan 189 mangsa daripada 50 keluarga.

Selain itu, SK Sungai Petai menempatkan 64 mangsa daripada 14 keluarga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor menempatkan 46 mangsa daripada 12 keluarga.

Manakala SK Wakaf Raja menempatkan 30 mangsa membabitkan tujuh keluarga, SK Jelawat menempatkan 15 mangsa membabitkan tiga keluarga, SK Tok Deh menempatkan 27 mangsa daripada tujuh keluarga, dan Dewan Kompleks Kamil pula menempatkan 29 mangsa membabitkan 10 keluarga.

Sementara itu, berdasarkan laman web rasmi Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Golok di Rantau Panjang berada paras bahaya.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan, amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di jangka berlaku di beberapa daerah di Kelantan sehingga esok membabitkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, dan Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 10:59 AM