LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Bomba
LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Cubaan seorang lelaki untuk terjun dari bumbung di tingkat 11, digagalkan apabila dia berjaya dipujuk selepas lebih sejam dalam kejadian di Hospital Queen Elizabeth I (QEH I) di sini, malam tadi.

Kejadian itu disedari oleh pengawal keselamatan ketika menjalankan rondaan sebelum bertindak menghubungi talian kecemasan 999, 9.13 malam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, didapati seorang lelaki disyaki cuba terjun dari bumbung bangunan hospital di tingkat 11.

"Pasukan bomba dan pengawal keselamatan hospital mengambil masa lebih sejam bagi memujuk lelaki berusia 43 tahun berkenaan.

"Lelaki terbabit berjaya dibawa turun dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada 10.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 8:49 AM