Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: "Asap tebal bermula dari sebuah gerai merebak hingga ke gimnasium saya. Ketika itu, terdapat 15 pelanggan di dalam gimnasium," kata pemilik gimnasium di bazar larut malam (Uptown) Kota Damansara yang terjejas akibat kebakaran malam tadi.

Mazalan Abdul Manan, 53 berkata, bagaimanapun, dia lega kerana kejadian tidak berlaku pada hujung minggu.

"Setiap minggu kawasan itu amat sesak dengan pengunjung yang datang membeli pelbagai barangan yang dijual peniaga di bazar berkenaan.

"Jalan-jalan di sekeliling bazar berkenaan selalunya akan dipenuhi dengan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan, bayangkan jika kejadian ini berlaku pada hujung minggu," katanya ketika ditemui, di sini, malam tadi.

Menceritakan mengenai kebakaran berkenaan, Mazalan berkata, dia melihat terdapat asap tebal keluar dari kawasan bazar berkenaan, pada 8.15 malam.

"Melihat asap itu, saya masuk ke kawasan bazar dan lihat asap itu datang dari sebuah gerai yang terletak berhampiran dengan gimnasium saya," katanya.

ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan selepas berjaya memadamkan kebakaran di gerai peniaga yang terbabit dalam kebakaran yang berlaku jam 8 malam di Uptown Kota Damansara. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan selepas berjaya memadamkan kebakaran di gerai peniaga yang terbabit dalam kebakaran yang berlaku jam 8 malam di Uptown Kota Damansara. FOTO Hairul Anuar Rahim

Menurut Mazalan, api merebak dengan pantas ke gerai-gerai berhampiran dan bahagian belakang gimnasiumnya

"Ketika itu terdapat kira-kira 15 orang ahli sedang bersenam di dalam gimnasium dan ketika api mula marak, mereka turut sama membantu saya untuk mengeluarkan alat senaman lain. Mereka turut membantu peniaga-peniaga berhampiran menyelamatkan barangan perniagaan mereka daripada terbakar," katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 1 Shah Alam Ahmad Zaidi Safuan berkata, dalam kejadian berkenaan, api merebak dengan pantas berikutan kawasan berkenaan penuh dengan bahan mudah terbakar.

"Keseluruhan (kawasan) Uptown (Kota Damansara ) ini adalah 'bahan bakar', ketika pasukan penyelamat sampai api marak dengan besar dan kita terpaksa menggunakan teknik kepungan untuk padam kebakaran," katanya.

Ahmad Zaidi berkata, siasatan punca kejadian akan dijalankan dan dijangka akan selesai pada Rabu.

Katanya, kawasan kebakaran ini akan ditutup sementara waktu, sehingga siasatan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 10:10 AM