MENTERI Sumber Manusia, V Sivakumar (dua dari kanan) beramah mesra bersama sebahagian peserta pada Majlis Pelepasan Perkeso Run & Ride 2023 di Dataran Wawasan, Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Dr Mohammed Azman (tengah).
MENTERI Sumber Manusia, V Sivakumar (dua dari kanan) beramah mesra bersama sebahagian peserta pada Majlis Pelepasan Perkeso Run & Ride 2023 di Dataran Wawasan, Persiaran Perdana, Presint 2, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Dr Mohammed Azman (tengah).
Sudirman Mohd Tahir

Putrajaya: Perkeso Run & Ride 2023 yang menerima penyertaan hampir tiga kali ganda atau lebih 8,000 peserta memberi petunjuk positif ke arah tekad masyarakat beralih ke gaya hidup sihat selari matlamat kerajaan menangani risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Sri Subahan Kamal berkata, situasi Malaysia yang kini menuju status negara menua menjelang 2050 memerlukan intervensi awal termasuk 'pelaburan kesihatan.'

"Analisis Program Saringan Kesihatan (HSP) 3.0 yang dilaksanakan Perkeso tahun ini mendapati 60.3 peratus daripada 70,000 orang pencarum yang menjalani saringan kesihatan sehingga Oktober lalu mengalami masalah obesiti (kegemukan) selain 18.9 peratus menghidap kencing manis, 27.3 peratus mempunyai darah tinggi dan 61.2 peratus berdepan masalah kolesterol tinggi.

"Perbandingan terhadap statistik Perkeso bagi 2021 dan 2022 pula mendedahkan terdapat peningkatan jumlah pencarum yang mengalami hilang upaya atau meninggal dunia disebabkan NCD sebanyak 37 peratus.

"Mengikut pengiraan secara purata, 46 kes NCD dilaporkan kepada Perkeso setiap hari pada 2021, tetapi ia melonjak kepada 63 kes NCD sehari pada 2022. Justeru, ini adalah wake-up call yang tidak wajar dipandang remeh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Perkeso Run & Ride 2023, di Dataran Wawasan di sini, semalam.

Turut hadir, Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM), Datuk Amran Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KSM, Datuk Norison Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

SIVAKUMAR (tengah) melepaskan peserta acara berbasikal 40 kilometer. Turut kelihatan, Dr Mohammed Azman (dua dari kiri) dan Subahan (dua dari kanan).

Menurutnya, 'pelaburan kesihatan' yang sebenarnya tidak memerlukan modal besar mampu memberi laba keuntungan merangkumi pelbagai aspek seperti produktiviti pekerja dan perbelanjaan perubatan, selain mengoptimumkan pengurusan fiskal negara.

"Aspek fiskal negara bakal berdepan cabaran getir kerana kajian bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kos penjagaan kesihatan untuk pesakit NCD dan kehilangan produktiviti diunjur kira-kira RM22.5 billion setahun,"katanya.

Perkeso Run & Ride 2023 adalah anjuran Perkeso yang sudah memasuki tahun ketujuh sejak mula diperkenalkan pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 11:24 AM