Pembukaan tanah dan penerokaan hutan di sekitar Pos Blau dipercayai menjadi punca gajah liar masuk ke perkampungan Orang Asli. FOTO Paya Linda Yahya
Pembukaan tanah dan penerokaan hutan di sekitar Pos Blau dipercayai menjadi punca gajah liar masuk ke perkampungan Orang Asli. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kemunculan seekor gajah dewasa yang berkeliaran menimbulkan kebimbangan terhadap 24 keluarga Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Kelaik, Pos Blau, di sini.

Kemunculan gajah dewasa itu sejak Khamis lalu turut mengganggu tanaman dan makanan dalam rumah penduduk.

Penduduk Uda Busu, 42, berkata dia bimbang keselamatan menyebabkan lebih 70 penduduk termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan meninggalkan rumah.

"Kira-kira 5 petang Khamis lalu, gajah liar itu muncul di padang permainan kanak-kanak hingga merisaukan keselamatan sekiranya haiwan terbabit naik minyak lalu kami sepakat meninggal kampung dan menunggu di tepi jalan.

"Kami menunggu di sana (tepi jalan) sehingga benar-benar yakin gajah itu sudah tiada dan kembali ke hutan. Kira-kira jam 3 pagi, kami pulang ke rumah masing-masing.

"Ketika sampai di rumah, kami dapati sisa makanan dan kuali di dua rumah berselerak di atas tanah dipercayai kerana perbuatan gajah terbabit," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Penghulu Pos Blau, Salleh Angah, 60, berkata beliau berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat bertindak pantas dan menangkap gajah liar terbabit

"Kejadian yang berlaku pada petang Khamis lalu adalah kali kedua. Pada kejadian kali pertama Rabu lalu, gajah terbabit hanya merosakkan tanaman penduduk," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 4:23 PM