GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Aspek integriti kekal menjadi keutamaan dan perlu dibudayakan oleh seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau yang menetapkan dua fokus utama iaitu integriti dan tata kelola baik serta mendukung dasar kerajaan berkata, perkara itu perlu dilaksanakan dalam aspek penugasan.

Menurutnya, integriti yang utuh akan menjadi benteng daripada terjebak melakukan kemungkaran, sekali gus mengecilkan dan menutup ruang rasuah.

"Sesungguhnya, kita (warga PDRM) ditakdirkan untuk menjadi seorang pegawai polis dan ia adalah satu profesion yang amat mulia.

"Kita diberi peluang untuk berjihad di jalan Allah melalui tanggungjawab hisbah sebagai khalifah di muka bumi ini, untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar," katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Justeru, Razarudin mengingatkan setiap warga PDRM supaya memelihara kerjaya dengan sebaiknya dan tidak menggadai maruah diri bersekongkol dengan sindiket jenayah termasuk penipuan, perjudian, pelacuran, kongsi gelap serta dadah.

"Ingatlah bahawa kita bekerja bukan semata-mata untuk mendapatkan gaji bagi kelangsungan hidup, namun kita perlu mencari keberkatan dalam rezeki halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 10:19 AM