Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar s pada sidang media selepas hadir Majlis Iftar  Bersama Petugas Op Taring Wawasan Kelantan di Sekatan Jalan Raya (JKR) Batalion 8 Briged Tenggara, PGA,Cabang Empat Salam, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar s pada sidang media selepas hadir Majlis Iftar Bersama Petugas Op Taring Wawasan Kelantan di Sekatan Jalan Raya (JKR) Batalion 8 Briged Tenggara, PGA,Cabang Empat Salam, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Perlu mengenal pasti pangkalan haram sama ada dibina atas tanah kerajaan negeri atau persendirian antara kekangan pangkalan haram sukar dirobohkan dengan segera.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, semakan berkenaan akan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Setakat ini menerusi operasi bersepadu dengan beberapa agensi termasuk PBT, kita sudah merobohkan dua jeti pangkalan haram di Pengkalan Kubor.

"Manakala, tiga notis diberikan oleh PBT kepada tiga stor milik penduduk yang dibina kerana tidak mematuhi syarat PBT.

"Kita tidak menolak kemungkinan stor berkenaan dijadikan transit untuk aktiviti kontraban dan penyeludupan senjata api dan dadah. Dalam isu merobohkan pangkalan haram, kita sebagai PGA membantu PBT dan pasukan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Iftar Bersama Petugas Op Taring Wawasan Kelantan di Sekatan Jalan Raya Batalion 8 Briged Tenggara, PGA, di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan bersama wakil Kerajaan Kelantan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu menghapuskan pangkalan haram yang berisiko menjadi laluan penyeludupan.

Saifuddin berkata, beliau sendiri sudah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan dua minggu lalu, dalam mencari solusi terbaik menghapuskan pangkalan haram.

Katanya, satu pembentangan dibuat oleh agensi perisikan keselamatan, bukan sahaja membentangkan mengenai permasalahan dan ancaman malah mereka juga mencadangkan jalan keluar, antaranya masalah kewujudan pangkalan haram terutama di kawasan sempadan utara negara kita dengan negara jiran iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 8:21 AM