GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Seorang penganggur berusia 54 tahun dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana mencabul kanak-kanak perempuan, minggu lalu.

Tertuduh, Wong Wee Liang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun tiga bulan di sebuah taman permainan di daerah ini, pada 3.40 petang, 4 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan bermula tarikh tertuduh ditangkap, 5 November lalu.

Tertuduh turut dikenakan hukuman tambahan iaitu sesi kaunseling sepanjang di penjara mengikut Seksyen 26 akta yang sama dan perintah pengawasan polis selama setahun selepas dibebaskan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Ripin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 5:25 PM