Muhamad Zaki menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis sempena Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali
Muhamad Zaki menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis sempena Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jumlah kes jenayah di Kelantan dalam tempoh 10 bulan ini menunjukkan penurunan sebanyak 8.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah kes jenayah sehingga Oktober adalah sebanyak 1,688 kes berbanding 1,852 kes tahun lalu.

Katanya, jumlah itu menunjukkan bahawa kes jenayah menurun sebanyak 164 kes atau 8.9 peratus.

"Antara kes yang menunjukkan penurunan ialah samun berkumpulan, mencederakan mangsa, curi lori dan jentera berat serta samun menggunakan senjata api.

"Penurunan ini hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama orang ramai yang sentiasa memberi maklumat.

"Kita jangka sehingga hujung tahun ini kes jenayah turun sebanyak 10 peratus," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Pada perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, tiga kes jenayah lain pula menunjukkan peningkatan iaitu kes bunuh, jenayah seksual rogol dan curi kereta.

"Bagi kes rogol menunjukkan peningkatan sebanyak 31.7 peratus iaitu dari 82 kes kepada 108 kes. Kebanyakan kes ini membabitkan mangsa di bawah umur.

"Sementara itu, bagi kes bunuh pula menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus daripada enam kes tahun lalu kepada sembilan kes, diikuti curi kereta meningkat sebanyak 22.7 peratus iaitu daripada 97 kes kepada 119 kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 12:27 PM