Abdul Ghani ketika sidang media selepas meninjau pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di Sekolah Kebangsaan Bintulu hari ini. FOTO BERNAMA
Abdul Ghani ketika sidang media selepas meninjau pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di Sekolah Kebangsaan Bintulu hari ini. FOTO BERNAMA
Melvin Joni


Bintulu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Jepak akan diketahui pada 9 malam ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ia kerana lokasi paling jauh di kawasan Dun Jepak terletak kira-kira satu jam perjalanan sahaja.

"Diharapkan cuaca terus elok dan tidak ada gangguan dari segi kiraan dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bintulu, di sini, hari ini.

Menurutnya, kiraan undi akan dibuat di setiap saluran mengundi dan penjumlahan sepenuhnya akan dibuat di Dewan Suara Bintulu sebelum pengumuman keputusan.

Katanya, sebanyak 14 pusat mengundi dan 45 saluran dibuka untuk pengundian bagi seramai 22,731 pengundi berdaftar.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, peratusan pengundi keluar mengundi agak rendah apabila hanya mencapai 33 peratus setakat 12 tadi.

Justeru, beliau menyeru semua pengundi keluar supaya mencapai sasaran peratusan keluar mengundi sekurang-kurannya 65 peratus.

"Kalau kita lihat cuaca amat elok tetapi saya lihat prestasi yang keluar mengundi agak kurang menyenangkan.

"Saya menyeru semua pengundi Dun Jepak dapat keluar, kita ada masa lagi sehingga 5.30 petang... keluarlah beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab," katanya.

PRK Dun Jepak menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Iskandar Turkee dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Anak Sarawak (Aspirasi) dan Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 2:34 PM