Mayat mangsa di bawa ke Hospital Parit Buntar oleh pihak PDRM untuk bedah siasat. FOTO Ihsan APMM.
Mayat mangsa di bawa ke Hospital Parit Buntar oleh pihak PDRM untuk bedah siasat. FOTO Ihsan APMM.
BERNAMA

Ipoh: Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu disahkan meninggal dunia apabila mayat mangsa ditemukan terapung di Jeti Zon Maritim Kuala Kurau dekat Parit Buntar petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mayat wanita berusia 23 tahun itu ditemui pasukan bot peronda pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mahu menambat bot berkenaan di Jeti Zon Maritim Kuala Kurau.

Beliau berkata, pihak polis sebelum itu telah menerima satu laporan orang hilang pada 10.54 pagi Jumaat lalu di Balai Polis Kuala Kurau.

"Mangsa yang menghidap tiroid dan asma mengalami kemurungan dikatakan telah keluar dari rumah dan bapa mangsa yang risau keselamatan anak perempuannya itu telah membuat laporan polis.

"Kita telah menerima laporan daripada APMM sekitar 4.45 petang menyatakan penemuan mayat dan mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Kampung Raja Bashah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, pihak polis telah menghubungi pengadu iaitu bapa mangsa bagi proses pengecaman mayat dan mengesahkan identiti mayat terbabit adalah anak perempuannya yang hilang.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar bagi bedah siasat dan hasil bedah siasat itu mendapati kematian tidak dapat dikenal pasti akibat pereputan mayat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 11:38 PM