IBU Pejabat PBB New York, Amerika Syarikat. FOTO AFP
IBU Pejabat PBB New York, Amerika Syarikat. FOTO AFP
Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Malaysia menyokong gesaan untuk diadakan Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di Ibu Pejabat PBB New York, Amerika Syarikat, hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia bersama Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timur Leste dan Vietnam menyokong permohonan kumpulan negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyambung semula Sesi Khas Kecemasan ke-10 pada perhimpunan berkenaan.

Sokongan itu dinyatakan Malaysia susulan ada negara yang menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi sewaktu ucapan dalam Majlis Keselamatan berkenaan situasi getir di Palestin yang diduduki Israel, termasuk Timur Baitulmuqaddis.

"Sebagai sebuah negara yang menyokong kuat langkah rakyat Palestin, Malaysia kekal teguh dalam menyuarakan sokongan negara ini terhadap hak pemilikan rakyat Palestin untuk menentukan sendiri dari pendudukan berpanjangan dan pengilhakkan wilayahnya yang diceroboh sejak 1967.

"Malaysia komited untuk menyertai Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Asia Barat pada 24 Oktober dan Sesi Khas Emergency pada Perhimpunan Agung pada 26 Oktober (hari ini)," katanya.

Malaysia turut menggesa pengisytiharan gencatan senjata ke atas kesemua tindakan keganasan termasuk provokasi, hasutan dan kemusnahan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pada masa sama, Malaysia mahu memberi peringatan kepada semua negara bahawa tindakan secara berseorangan tidak cukup untuk memperjuangkan hak asasi manusia kerana masih ada negara yang mengabaikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

"Malaysia berpegang teguh dengan pendirian negara ini bahawa Palestin berhak berdaulat dan memiliki negara merdeka, berdasarkan persempadanan pada 1967, dengan Timur Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya.

"Selain itu, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak ke arah penyelesaian konflik yang aman dan damai," kata Wisma Putra.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 10:37 AM