DATUK Saifuddin Abdullah
DATUK Saifuddin Abdullah
BERNAMA

Putrajaya: Malaysia mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi dan solidaritinya terhadap rakyat Palestin serta perjuangan mereka untuk penentuan nasib sendiri, kebebasan dan kemerdekaan.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata demikian sempena Hari Perpaduan Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin yang disambut pada 30 November setiap tahun.

Tahun ini adalah tahun ke-44 sejak Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkenalkan sambutan berkenaan.

Beliau berkata, hari itu terus memberi ingatan memedihkan mengenai tanggungjawab masyarakat antarabangsa yang belum selesai dalam menamatkan isu Palestin.

"Malaysia bersama masyarakat antarabangsa teguh berdiri serta bersatu dengan tujuan yang sama untuk mencari jalan bagi penyelesaian yang aman, adil dan berkekalan untuk Palestin dan rakyatnya," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar (Wisma Putra) di sini, hari ini.

Beliau berkata Malaysia akan terus aktif meneruskan agenda Palestin secara dua hala serta terbabit dalam pelbagai forum serantau dan antarabangsa ke arah aspirasi rakyat Palestin, demi kebebasan dan merealisasikan negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, sebagaimana disepakati di peringkat antarabangsa, undang-undang antarabangsa, dan resolusi PBB yang berkaitan.

"Sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan Palestin juga sebagai mengiktiraf aspirasi generasi baharu aktivis Palestin ke arah merealisasikan hasrat rakyat Palestin untuk kebebasan dan negara Palestin yang merdeka.

"Rakyat Palestin sudah mengalami penderitaan yang amat teruk akibat pendudukan dan sekatan Israel serta dasar perkauman dan diskriminasi, penafian hak asasi sivil; kekerasan; merampas tanah dan harta benda serta tindakan tidak berperikemanusiaan yang lain.

"Rakyat Palestin berhak mendapat keadilan dan keamanan. Komuniti global berhutang kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 3:05 PM