TONTO mengintip kenderaan JPJ yang melakukan operasi dan menahan kenderaan berat sebelum menyebarkan maklumat kepada pemandu lain.
TONTO mengintip kenderaan JPJ yang melakukan operasi dan menahan kenderaan berat sebelum menyebarkan maklumat kepada pemandu lain.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Raja Noraina Raja Rahim dan Samadi Ahmad

Kuala Lumpur: "Nak takut apa ? Dulu ada pasukan elit JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) tapi sekarang tak berapa ada 'sengat' lagi. Sebab itu ramai tonto senang sikit buat kerja," ujar salah seorang tonto yang hanya mahu dikenali sebagai Raj, 37.

Menurutnya, Unit Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ ditubuhkan sekitar 2016 kurang memberi ancaman kepada kegiatan tonto kini yang masih mengekori gerak gerak kenderaan penguatkuasa JPJ dan lain-lain agensi berkaitan.

"Mula-mula dahulu memang 'panas bontot' bila tahu pasukan khas JPJ ini ada senjata api, kejar dan tangkap tonto. Tapi lama kelamaan makin slow ( perlahan) sampaikan tonto tak gentar dan boleh teropong (intip) pejabat JPJ bila-bila masa.

"Sekarang pun driver (pemandu) lori dah pandai pilih waktu. Mereka tak bawa lori masuk lebuh raya pada waktu puncak. Biasanya mereka pilih waktu antara jam 3 hingga 6 pagi.

"Biasanya waktu begini tiada penguat kuasa atas jalan dan tiada road block (sekatan jalan raya). Kami hanya salur maklumat jika nampak kenderaan JPJ keluar dari kandang (ibu pejabat)," katanya.

Menurutnya, kegiatan tonto akan terus ditagih syarikat lori bermasalah yang sanggup membayar ribuan ringgit sebulan kepada tonto upahan.

"Ada bayar ikut minggu, ada bayar ikut bulan asalkan lori mereka tidak ditahan JPJ. Upah memang lumayan dan boleh cover (tampung) hidup," katanya.

Sementara itu berdasarkan siasatan wartawan mendapati kumpulan tonto tidak sekadar memerhati dan mengekori pergerakan harian kenderaan penguat kuasa JPJ malah mereka memiliki senarai hampir semua kenderaan JPJ.

Ia berdasarkan penemuan maklumat senarai kenderaan JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan JPJ Selangor dikongsi tonto sebagai rujukan sesama mereka.

Antara model kenderaan dan nombor plat milik JPJ berada dalam rekod tonto membabitkan kenderaan berpuluh pacuan empat roda Toyota Fortuner dan Ford Ranger, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV, dan kereta Proton Inspira.

Lebih mengejutkan apabila tonto turut boleh 'meramal' lokasi bakal serta jadual operasi JPJ dan polis trafik di sekitar Lembah Klang sekali gus mencetuskan tanda tanya berhubung isu kebocoran maklumat.

Turut disebarkan tonto kepada pemandu lori adalah gambar kenderaan penguat kuasa JPJ yang berada di Stesen Penguatkuasa JPJ.

Baru-baru ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan memaklumkan polis menerima lima laporan polis berkaitan aktiviti tonto yang menjadi pemberi maklumat bagi menggagalkan tugas JPJ sejak Januari lalu.

Beliau berkata, dua kertas siasatan berjaya dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Menurutnya, tonto boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

BUKTI gambar tersebar membuktikan tonto masih mengekori gerak-geri penguat kuasa JPJ yang melakukan tugas harian.
BUKTI gambar tersebar membuktikan tonto masih mengekori gerak-geri penguat kuasa JPJ yang melakukan tugas harian.

Bekal senjata api buat anggota PTK JPJ

Unit Pasukan Tindakan Khas (PTK) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diperkuatkan semula dalam usaha memerangi kumpulan tonto yang berperanan sebagai 'tentera upahan' syarikat lori.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, semua anggota PTK JPJ akan dibekalkan dengan senjata api untuk menjalankan pelbagai bentuk operasi membenteras kehadiran kacau ganggu tonto.

Menurutnya, selain operasi khas melalui penyamaran, pihak JPJ turut akan menggunakan pelbagai pendekatan baharu supaya kehadiran JPJ sukar dihidu kumpulan tonto terbabit.

"Bagaimanapun anggota JPJ perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati berikutan kumpulan tonto tidak teragak-agak melakukan tindakan di luar batasan termasuk merempuh kenderaan JPJ," katanya.

Difahamkan pernah berlaku sebelum ini sekumpulan tonto yang menaiki kenderaan pacuan empat roda, cuba melanggar kereta bekas Pengarah Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Solah Mat Hassan, ketika jabatan itu melakukan operasi memeriksa lori lebih muatan di Klang, Selangor.

Selain itu turut berlaku kes tonto menghimpit dan melanggar kereta Proton Waja dinaiki pegawai JPJ di Jalan Dengkil-Puchong menghala ke lebuh raya Lembah Klang Selatan (SKVE) Putra Perdana, Selangor.

Zailani berkata, kumpulan tonto ini sanggup melakukan apa sahaja perkara di luar batasan kerana mereka tahu bakal berdepan tindakan undang-undang 'keras' termasuk kenderaan dinaiki disita.

Menurutnya, dia sering mengingatkan anggota PTK JPJ sentiasa mengambil langkah bersiap sedia dan mengutamakan keselamatan diri ketika sedang bertugas serta tidak sewenang-wenangnya menggunakan senjata api kecuali jika nyawa terancam.

"Kumpulan tonto ini berada di mana-mana termasuk memantau pergerakan kenderaan agensi penguat kuasa yang keluar masuk di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya.

"Tonto ini menggunakan pelbagai modus operandi. Mereka bukan hanya menggunakan kenderaan pelbagai guna malah turut menaiki kenderaan berkuasa tinggi termasuk motosikal besar.

"Di setiap negeri, JPJ mempunyai anggota khusus bagi menangani kegiatan tonto secara berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 12:00 PM