AHMAD Maslan (dua kanan) pada Majlis Pelancaran Mushaf Palestine Edisi Khas untuk solidariti “Free Palestine” di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHMAD Maslan (dua kanan) pada Majlis Pelancaran Mushaf Palestine Edisi Khas untuk solidariti “Free Palestine” di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad

Putrajaya: Yayasan Restu menyasarkan RM3 juta kutipan menerusi Kempen Infak dan Wakaf 1 juta al- Quran bagi menyokong umat Palestin di Gaza yang berdepan kekejaman tentera Israel.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, buat permulaan sebanyak 30,000 naskah al-Quran akan dicetak dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, penerbitan al-Quran Mushaf Palestin ini tidak hanya mengutamakan aspek seni, malah ia turut menjadi inisiatif kemanusiaan yang cemerlang.

Katanya, ia menjadi wadah untuk menyokong solidariti rakyat Palestin yang kini terancam dengan kezaliman zionis Yahudi sehingga menimbulkan kemusnahan, kematian dan kebuluran.

"Kesemua jumlah infak akan disumbangkan bagi tujuan perubatan, pemakanan, pembinaan Masjid Saidina Ali yang turut menjadi Pusat al-Quran dan al-Hadith di Gaza," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Infak dan Wakaf 1 Juta al-Quran Edisi Palestin di Nasyrul Quran di sini, tadi.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu merangkap Ketua Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Latiff Mirasa.

Antara rakan strategik yang bekerjasama dalam penghasilan mushaf itu adalah Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM).

Ahmad berkata, kempen itu termasuk usaha diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencetak dan mengedarkan satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia, sebagai tindak balas terhadap pembakaran kitab suci di Sweden.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Yayasan Restu, berkata, menerusi sumbangan dana wakaf berjumlah RM100 penyumbang akan memperolehi senaskah al-Quran Mushaf Palestin yang memayungi identiti seni Palestin di setiap juzuknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 3:42 PM