Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang 'runner' dari sebuah firma guaman dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan menipu enam individu membabitkan pembelian rumah lelong dengan nilai kerugian berjumlah RM126,000 antara Februari hingga Ogos lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Nazrin Nasir Khan, 29, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin.

Mengikut semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh didakwa menipu enam individu berbeza dengan memperdaya mereka untuk mempercayai bahawa dia dapat membantu mendapatkan rumah lelong.

Tindakan itu menyebabkan mangsa yang terpedaya menyerahkan wang antara RM6,000 hingga RM30,000 melalui transaksi bank dengan jumlah keseluruhan kerugian bernilai RM126,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Butterworth dalam daerah Seberang Perai Utara, antara 13 Februari hingga 21 Ogos lalu.

NAZRIN Nasir (tengah) diiringi anggota polis untuk dihadapkan di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan menipu enam individu membabitkan pembelian rumah lelong dengan nilai kerugian berjumlah RM126,000 antara Mei hingga Ogos lalu. FOTO Danial Saad
NAZRIN Nasir (tengah) diiringi anggota polis untuk dihadapkan di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan menipu enam individu membabitkan pembelian rumah lelong dengan nilai kerugian berjumlah RM126,000 antara Mei hingga Ogos lalu. FOTO Danial Saad

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan mencadangkan supaya jaminan dikenakan masing-masing RM8,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan dia kini perlu menyara ibu dan empat adiknya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi semua enam pertuduhan.

Kes akan disebut semula pada 20 Disember depan bagi serahan dokumen dan tertuduh melantik peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 2:18 PM