GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak ditemukan tidak sedarkan diri dalam mesin basuh pakaian di Kampung Sungai Tapah Tambahan, Manjoi, sebelum disahkan meninggal dunia, semalam, memanjat mesin basuh terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata, kanak-kanak autism berumur enam tahun itu turut dipercayai terjatuh ke dalam mesin terbabit ketika ianya beroperasi.

"Masih dalam siasatan sama ada mangsa yang juga Orag Kurang Upaya (OKU) autism terjatuh ke dalam mesin itu semasa memanjatnya. Namun kami percaya memang macam itu.

"Semasa kejadian terdapat pakaian yang sedang dicuci dalam mesin jenis pintu atas itu, namun sewaktu kanak-kanak berkenaan dijumpai oleh neneknya mesin basuh berkenaan sudah berhenti beroperasi" katanya.

Menurutnya, semasa kejadian kira-kira 9.30 pagi semalam itu ahli keluarganya yang lain, selain daripada nenek mangsa sedang tidur.

Katanya lagi, mangsa yang dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri dari rumahnya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) diberikan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) oleh petugas perubatan hospital itu namun disahkan meninggal dunia di hospital itu, 11.02 pagi semalam.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik HRPB semalam mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul (blunt trauma of the head) dan oleh itu kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Berita berkaitan:

Budak ditemukan dalam mesin basuh meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 11:16 AM