ALLAHYARHAM Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar. FOTO Ihsan FB Tentera Darat Malaysia
ALLAHYARHAM Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar. FOTO Ihsan FB Tentera Darat Malaysia
Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: "Emil sepatutnya berkahwin dengan tunangnya Mei tahun hadapan, namun hasratnya tidak kesampaian," kata Iskandar Mohammed Nordin, bapa kepada Pegawai Muda Kor Risik Diraja (KRD) Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar.

Emil Syahid, 24, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, Johor, Sabtu lalu ketika menerima rawatan kerana mempunyai simptom strok haba.

Iskandar, 50, berkata, semua kelengkapan untuk majlis perkahwinan anak kedua daripada lima beradik itu sudah disiapkan termasuk tempahan dewan.

"Dia bertunang awal tahun ini dan merancang berkahwin Mei tahun hadapan kerana dia perlu menghabiskan kursus di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA), Kota Tinggi, Johor, dijangka Januari tahun hadapan.

"Selepas itu, dia ada lagi kursus yang perlu disertai sebagai pegawai risik dan semua ini sudah ada dalam perancangannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, di sini, hari ini.

Menceritakan semula kejadian itu, Iskandar berkata, beliau dan isterinya, Zalilatuakma Sulaiman, 49, sempat menghantar Emil ke PULADA pada 18 September lalu.

"Sebelum ini, dia ada menghantar mesej di kumpulan WhatsApp keluarga kami memaklumkan dia mahu pulang ke rumah pada Jumaat ini, namun tiada mesej dihantar selepas itu.

"Kira-kira jam 1 pagi, saya menerima panggilan daripada pegawainya memaklumkan Emil dirawat di HSI sebelum bergegas ke sana.

"Kami sempat berjumpanya sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan," katanya yang juga kakitangan swasta.

Katanya, sebelum kejadian itu, Emil ada menghantar mesej ke kumpulan WhatsApp keluarga mereka memaklumkan tidak jadi pulang ke rumah kerana terlalu penat.

"Kami tidak menerima sebarang mesej daripadanya pada hari kejadian. Namun sebaik telefon bimbit miliknya dihidupkan, mesej itu masuk ke dalam kumpulan WhatsApp berkenaan.

"Tunang arwah juga ada beritahu ibunya bahawa Emil ada menghantar video kepada tunangnya kira-kira 3 petang, Jumaat lalu," katanya.

Mengulas mengenai keperibadian Emil, Iskandar berkata, dia seorang suka bergurau dengan rakannya dan sangat baik terutama kepada adik-beradiknya.

"Setiap kali mereka minta dia belanja, pasti dia akan tunaikan.

"Dari segi pembelajaran pula, Emil adalah seorang pelajar cemerlang apabila memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Dia juga pernah disenarai pendek tiga terbaik daripada ratusan calon untuk menjalani latihan dengan Tentera Udara Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata, Emil mempunyai minat dalam bidang ketenteraan dan tidak sabar untuk menamatkan kursus tempur pegawai muda yang sedang dijalaninya.

"Minat Allahyarham dalam bidang ketenteraan bermula ketika bersekolah di Maktab Kolej Diraja.

"Malah, dia sanggup menolak biasiswa kerana ingin menyambung pelajaran di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)," katanya.

Berita berkaitan:

Strok haba: Sembilan lagi pegawai muda stabil

Leftenan Muda Emil Syahid maut dipercayai akibat strok haba

10 peserta kursus tempur di Kem Pulada alami simptom strok haba

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 4:52 PM