GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) akan bertemu dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di pejabat kementerian itu di Putrajaya esok pagi, bagi membincangkan harga ayam dan telur.

Penasihat FLFAM Datuk Jeffrey Ng berkata, pertemuan itu adalah untuk mendengar secara terperinci dan berunding mengenai keputusan kerajaan menimbangkan supaya harga ayam dan telur di pasaran diapungkan berdasar harga yang lebih rendah daripada harga apungan pasaran.

Beliau berkata, pihak FLFAM belum mendapat kepastian mengenai penentuan harga kerana mekanisme kerajaan itu belum dijelaskan lagi.

"Apa pun pihak persatuan sokong keputusan kerajaan (yang diumum dalam Belanjawan 2024). Cuma bagaimana nak uruskan kelak, kita tengok macam mana.

"Sekarang kita pun tak tahu apa yang kerajaan umum harga siling akan diberhenti. Penguatkuasaan harga apungan bila kita tak tahu lagi. Jadi kena tunggulah waktu kita bermesyuarat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) esok pagi di Putrajaya," katanya ketika dihubungi.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan menimbangkan harga ayam dan telur di pasaran diapungkan berdasar harga yang lebih rendah daripada harga apungan pasaran.

"Ini akan diumumkan dalam sedikit masa oleh KPKM selepas berunding dengan pengeluar dan memastikan tidak ada kenaikan harga yang tidak munasabah oleh syarikat dan peniaga.

"Harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling kawalan. Maka dengan itu, kawalan harga sementara yang ditetapkan akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran," kata Anwar merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, ketika ini kerajaan menanggung sebanyak RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam, yang berlangsung berterusan dan tidak hanya pada musim perayaan sahaja.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, sekiranya tiada lagi kawalan harga sementara itu kebiasaannya harga akan ditentukan pasaran itu.

"Kita tak dapat tahu harga macam mana sebab kalau tak ada harga kawalan lagi, ia memang kena ikut pasaran. Kalau pasaran naik memang naiklah (harga), jika pasaran turun memang turunlah (harga). Sekiranya bekalan cukup, memang harga tidak akan naik terlalu mendadak.

"Kita pun memang tak mahu jual terlalu tinggi. Kalau jual terlalu tinggi pun nanti akan menjejaskan permintaan sekali gus tidak bagus dalam kitaran ekonomi. Untuk saya, kita (persatuannya) cuma berharap dapat harga yang berpatutanlah (dalam rundingan dengan KPKM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 2:50 PM