GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Akibat tertarik dengan iklan pelaburan mata wang kripto berpangkalan di New York, seorang juruaudit syarikat swasta di Sungai Bakap, di sini, kerugian hampir RM1.49 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Ng Ah Thiam berkata, kejadian bermula 2 Mei lalu ketika wanita warga tempatan berusia 43 tahun itu melihat iklan pelaburan di Facebook (FB).

"Mangsa tertarik sehingga dia kemudian mengikuti pautan yang ada dalam iklan terbabit dan seterusnya mendapat penerangan mengenai pelaburan saham yang ditawarkan.

"Selepas selesai mendapat penerangan, mangsa menyertai pelaburan itu dan membuat beberapa transaksi pembayaran dengan jumlah keseluruhan hampir RM1.49 juta ke beberapa akaun bank yang diberikan sindiket terbabit.

"Bagaimanapun, sehingga kini dia gagal mengeluarkan keuntungan berserta modal yang dilaburkan, bahkan secara berterusan dipaksa menambah wang pelaburan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, mangsa yang sedar dirinya terjerat dalam sindiket penipuan tampil membuat laporan polis kelmarin untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 12:16 AM