ANWAR dan Srettha ketika majlis makan malam di Seri Perdana. FOTO Bernama
ANWAR dan Srettha ketika majlis makan malam di Seri Perdana. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghoskan majlis makan malam sempena lawatan kerja rakan sejawatnya dari Thailand Srettha Thavisin di Seri Perdana di sini.

Ketibaan Srettha bersama delegasi beliau di kediaman rasmi Perdana Menteri itu pada kira-kira 7.30 malam disambut oleh Anwar.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Thailand ke Malaysia Lada Phumas.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata di Perdana Putra bagi membincangkan usaha meningkatkan hubungan dua hala.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Srettha di Istana Negara.

Srettha kini dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia, yang bermula hari ini, dan ia kunjungan sulung beliau ke negara ini setelah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand pada 5 September lalu.

Anwar dan Srettha sebelum ini mengadakan pertemuan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78 di New York bulan lalu.

Pada 2022, Thailand adalah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam Asean dengan nilai dagangan RM122.03 bilion (US$27.75 bilion), peningkatan 17.9 peratus berbanding RM97.55 bilion (US$23.54) bagi tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 10:47 PM