LOH Siew Hong (tengah) bersama barisan  peguam keluar dari kamar Mahkamah Tinggi selepas memenangi keputusan permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) mahu menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas Islam kepada tiga anak mualaf. FOTO Saifullizan Tamadi
LOH Siew Hong (tengah) bersama barisan peguam keluar dari kamar Mahkamah Tinggi selepas memenangi keputusan permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) mahu menjalankan tanggungjawab termasuk memberi pendidikan asas Islam kepada tiga anak mualaf. FOTO Saifullizan Tamadi
Faris Fuad

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menjalankan tanggungjawab membimbing serta mendidik tiga kanak-kanak mualaf yang berada di bawah jagaan ibu mereka, Loh Siew Hong untuk mempelajari Islam.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan berkenaan selepas mendapati permohonan itu tiada merit dan tidak dibuat atas kepentingan kanak-kanak berkenaan.

"MAIPs gagal dalam permohonannya, tiada justifikasi wajar dan mengikut undang-undang.

"Berdasarkan pengalaman traumatik kanak-kanak itu, isu mengenai akses (MAIPs) tidak mengutamakan kepentingan kanak-kanak terbabit.

"Semua pihak perlu terima situasi ini, henti nafikan dan campur tangan terhadap kehidupan kanak-kanak berkenaan," katanya.

Sementara itu, Siew Hong ketika ditemui pemberita berkata, dia tidak mahu ingat kes mahkamah dihadapinya, sebaliknya berhasrat memfokuskan pendidikan anak.

"Anak dengan saya dan kami nak hidup tenang. Itu yang saya minta," katanya.

MAIPs memohon perintah variasi bagi menjalankan tanggungjawab terhadap kanak-kanak terbabit antaranya membawa mereka menunaikan solat Jumaat dan meraikan hari kebesaran Islam di masjid berhampiran rumah, memberi bantuan zakat serta membantu menampung kos sara hidup ketiga-tiganya daripada aspek pendidikan, keperluan dan kebajikan.

Pada 27 September lalu, peguam bela MAIPs, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, anak guam mempunyai tanggungjawab statutori di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perlis) 2006 untuk memastikan kebajikan kanak-kanak terbabit dipelihara termasuk bantuan dibenarkan syarak yang boleh disalur melalui mana-mana penjaga sah mereka.

Beliau dilaporkan berkata, Loh dan bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy juga tidak mampu memberikan anak mereka asas pendidikan agama Islam dengan baik.

Peguam bela Siew Hong, J Gunamalar pula dilaporkan berhujah permohonan MAIPs adalah penyalahgunaan proses mahkamah susulan tidak memohon untuk mengubah perintah hak penjagaan kanak-kanak terbabit.

Pada 7 Febuari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan MAIPs menjadi responden kedua dalam petisyen perceraian Siew Hong dan Muhammad Nagahswaran membabitkan hak penjagaan tiga anak mereka yang diperoleh wanita itu.

Siew Hong diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas sepasang kembar perempuan berusia 15 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 4:56 PM