Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) untuk mengubah perintah penjagaan tiga beradik yang diberikan kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong.

Peguam Maips Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Hakim Evrol Mariette Peters bersetuju dengan permohonan MAIPs agar beliau menarik diri apabila perkara itu dibangkitkan pada prosiding pengurusan kes melalui dalam talian hari ini.

"Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 19 April di hadapan timbalan pendaftar," kata peguam itu.

Pada 20 Mac, MAIPs telah menulis surat kepada mahkamah agar Peters menarik diri daripada mendengar kes itu.

Berdasarkan salinan surat berkenaan, majlis agama Islam negeri itu memohon Peters agar menarik diri kerana beliau selaku hakim pada 15 Jun tahun lalu telah menolak permohonan MAIPs untuk mencelah selepas mendapati MAIPs gagal menunjukkan bahawa majlis itu adalah pihak berkepentingan terhadap kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, pada 7 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan membenarkan MAIPs untuk mencelah dalam prosiding perceraian Loh, sekali gus membuka jalan kepada majlis itu untuk memohon mengubah perintah jagaan terhadap tiga beradik berkenaan.

Menerusi surat itu, MAIPs mendakwa hakim tersebut telah terkhilaf dalam keputusannya dengan menyentuh merit isu status agama anak-anak itu dan permohonan untuk mengubah perintah penjagaan.

MAIPs mendakwa perkara itu memerlukan hakim yang berbeza untuk mendengar permohonan tersebut.

Dalam petisyen perceraian itu, Loh, 36, telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal bagi tiga anaknya.

MAIPs memfailkan permohonan untuk mencelah pada 7 Mac tahun lalu bagi membolehkan majlis agama itu mempunyai locus standi (kedudukan undang-undang) untuk memohon mengubah syarat perintah hak penjagaan yang diberikan kepada Loh.

Pada 21 Februari 2022, tiga beradik itu yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan kepada Loh selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

Sementara itu, peguam Loh, J Gunamalar berkata mereka telah memfailkan permohonan penangguhan berhubung perintah variasi yang dikemukakan oleh MAIPs.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 4:10 PM