GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Polis sedang memburu sekumpulan lelaki yang dikatakan bergaduh di kawasan rumah kedai di Taman Matahari Heights, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, rakaman kejadian tular memaparkan kumpulan penunggang motosikal berkumpul dalam keadaan kecoh sebelum kelihatan seorang lelaki memukul individu lain menggunakan topi keledar.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kira-kira jam 9.30 malam Ahad lalu, pihaknya mengesan rakaman berdurasi 13 saat dimuat naik seorang pemilik akaun media sosial.

"Video berkenaan memaparkan sekumpulan lelaki yang sedang bergaduh di hadapan sebuah kedai di Taman Matahari Heights.

"Namun sehingga kini tiada pihak yang tampil membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedang mengesan individu terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Balai Polis Senawang Inspektor Mohd Darul Azwan Md Desa di talian 06-6792222 atau 013-5112168.

"Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh," katanya.

Dalam video itu juga, jelas kedengaran bunyi topi keledar yang digunakan seorang lelaki untuk memukul seorang individu, namun punca sebenar kejadian tidak diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 2:12 PM