SEBUAH inap desa di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar  yang menawarkan pengalaman rumah orang lama dikelilingi sawah padi dan bukit-bukau menghijau. FOTO ihsan Noorshazlin Meor Samsudin
SEBUAH inap desa di Kampung Labu Kubong, Kuala Kangsar yang menawarkan pengalaman rumah orang lama dikelilingi sawah padi dan bukit-bukau menghijau. FOTO ihsan Noorshazlin Meor Samsudin
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Kuala Kangsar: Keindahan panorama Kampung Labu Kubong di sini, memberi rezeki kepada 15 pengusaha inap desa dengan penubuhan Koperasi Homestay Labu Kubong sejak 2017.

Mereka bukan sekadar menyediakan perkhidmatan penginapan malah pengunjung turut dilibatkan dengan aktiviti harian penduduk setempat seperti mengusahakan sawah, mengambil madu lebah, menarik upih, kraf tangan dan silat bersama orang kampung.

Faktor unik geografi kampung berkenaan yang dikelilingi bukit-bukau serta sawah padi terbentang luas membuatkan suasana pagi di situ sejuk serta berkabus walaupun tidak hujan.

Pengurus Koperasi Homestay Labu Kubong, Noorshazlin Meor Samsudin, 31, berkata, idea mewujudkan sebuah kluster homestay wujud hasil idea bapanya, Meor Samsudin Abu Hassan, 66, bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lubok Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak sekitar Julai 2014.

Menurutnya, perniagaan inap desa itu bertujuan membantu penduduk kampung yang majoritinya bekerja sebagai pesawah dan penoreh getah, menjana pendapatan tambahan.

"Pada peringkat awal, penduduk kampung yang berminat perlu menjalani kursus dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Pada Julai 2014, kami tubuhkan Persatuan Pengusaha Kampungstay dan Homestay Labu Kubong sebagai muafakat penduduk kampung, melaluinya setiap ahli mempunyai peranan tersendiri dalam jawatankuasa bagi menguruskan beberapa unit homestay.

"Pada pandangan saya, keunikan inap desa di kampung ini adalah sifat orang kampung sendiri yang ramah dan suka berinteraksi dengan pengunjung melalui pelbagai aktiviti, sehingga ada pengunjung nyatakan bahawa umpama di kampung sendiri kerana terharu dengan layanan mesra masyarakat Kampung Labu Kubong," katanya.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pengurusan Sumber Haiwan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, berkat kesungguhan penduduk yang menjayakan pelancongan berasaskan komuniti di situ, mereka berjaya merangkul Anugerah Desa Sejarah 1 Malaysia (ADS1M) dan Anugerah Program Desa Lestari anjuran kerajaan Persekutuan pada 2018.

Bercerita lanjut, Noorshazlin berkata, kerajaan ketika itu menghadiahkan sebuah van dan 'tram' yang sehingga kini dimanfaatkan bagi tujuan pengangkutan dan keselesaan pelancong.

"Selepas menerima anugerah itu, kami disarankan menubuhkan pula koperasi bagi melicinkan lagi pengurusan inap desa kerana perbelanjaan sentiasa diaudit, ahli mendapat manfaat dlaam bentuk dividen dan mencipta peluang pekerjaan baharu kepada penduduk kampung.

"Kini, Koperasi Homestay Labu Kubong disertai 15 pengusaha dengan 10 unit inap desa dengan pelbagai pakej menarik.

"Alhamdulillah, homestay kami berjaya mendapat Anugerah Pelancongan Standard ASEAN bagi kategori inap desa tahun ini yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia.

"Ini adalah pengiktirafan yang sangat besar kerana segala pengorbanan dan penat lelah penduduk kampung membangunkan identiti pelancongan kami terasa berbaloi," katanya.

Noorshazlin berkata, pihaknya berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kerana mengambil berat industri pelancongan menerusi flagship Ekonomi Pengalaman menerusi segmen Pelancongan Peradaban dan Kesejahteraan Nusantara dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

Melalui pelan berkenaan, katanya, Tourism Perak selaku peneraju flaghip berkenaan membantu Koperasi Homestay Labu Kubong menerusi aktiviti promosi dan bantuan kewangan semasa pandemik Covid-19 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 7:01 AM