BANGUNAN LTAT. FOTO Arkib NSTP
BANGUNAN LTAT. FOTO Arkib NSTP
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Laporan Ketua Audit Negara mendapati Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membuat pelaburan melebihi daripada had yang ditetapkan oleh agensi itu.

Laporan itu menyatakan LTAT membuat pelaburan berjumlah RM6.750 bilion atau 69.1 peratus iaitu melebihi 39.1 peratus daripada had ditetapkan.

Katanya, mengikut Akta Tabung Angkatan Tentera, LTAT boleh melabur tidak kurang daripada 70 peratus dalam pelaburan yang dibenarkan oleh atau mengikut Akta Pemegang Amanah 1949.

"Bagaimanapun, LTAT hanya membuat pelaburan berjumlah RM3.026 bilion atau 30.9 peratus, iaitu kurang 39.1 peratus daripada had ditetapkan.

"Perenggan 15(1)(b) akta yang sama menyatakan LTAT hanya dibenarkan melabur tidak melebihi 30 peratus dalam pelaburan ekuiti sama ada tidak disenaraikan atau disenaraikan di Bursa saham yang ditubuhkan di Malaysia," menurut laporan itu melalui Pendapat Tanpa Teguran.

Pendapat Tanpa Teguran dalam Laporan Ketua Audit adalah pendapat yang dinyatakan oleh juruaudit apabila membuat kesimpulan bahawa penyata kewangan yang disediakan memberi gambaran yang benar dan saksama selaras dengan piawaian perakaunan.

Sebanyak 21 penyata kewangan diberikan Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran dan perenggan Penegasan Perkara.

Dalam laporan itu dinyatakan pelaburan LTAT dibuat dalam tujuh syarikat subsidiari pada 2021 bernilai RM5.151 bilion.

Pelaburan itu termasuk kos pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad berjumlah RM2.551 bilion dan Pharmaniaga Berhad RM113.98 juta.

Pada 31 Disember 2021, dilaporkan nilai pasaran bagi pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad adalah sebanyak RM638.44 juta dan Pharmaniaga Berhad sebanyak RM90.66 juta.

"LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap Boustead Holdings Berhad berjumlah RM1.912 bilion dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM23.32 juta berdasarkan nilai kegunaan (value in use) syarikat subsidiari itu yang lebih tinggi berbanding kos pelaburan LTAT.

"Pengiraan nilai kegunaan syarikat subsidiari dibuat berdasarkan anggaran unjuran aliran tunai pada masa hadapan.

"Pihak Audit berpendapat wujud ketidakpastian terhadap asas aliran tunai itu yang tertakluk kepada prestasi kewangan sebenar syarikat subsidiari," katanya.

Dalam masa yang sama, LTAT didapati mengisytihar dividen sebanyak 4.1 peratus bersamaan RM379.42 juta pada 6 Mac 2022 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Namun, didapati Laporan Cadangan Pembayaran Dividen Tahun 2021 oleh aktuari menyatakan pembayaran dividen pada kadar 4.1 peratus itu akan menjejaskan

keupayaan LTAT untuk membayar liabilitinya seperti yang termaktub dalamperenggan 11(2)(c), Akta Tabung Angkatan Tentera .

"Seterusnya, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengeluarkan surat sokongan kewangan bertarikh 5 Mac 2022 untuk memastikan LTAT akan terus berupaya memenuhi setiap obligasi kewangannya mengikut akta yang ditetapkan," menurut laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 5:18 PM