Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia berjaya mengajak Indonesia, Thailand dan China menggunakan nilai mata wang tempatan untuk berdagang.

Perdana Menteri berkata, perkara itu hasil perbincangannya dengan China dan semasa sidang kemuncak Asean yang diadakan di Jakarta baru-baru ini.

"China menyambut baik. Sekadar 20 hingga 28 peratus pelaburan yang besar, puluh bilion ringgit itu tidak menggunakan dolar tetapi menggunakan ringgit.

"Dan ini tidak menjejaskan dari segi kehilangan atau kesusutan nilai ringgit. Setakat ini yang kita berjaya menggunakan nilai wang tempatan adalah Indonesia, Thailand dan China.

"Tetapi tidak semua bidang terutama kalau terlibat dalam komoditi perdagangan antarabangsa," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) sejauh mana keberkesanan langkah kerajaan dalam menangani impak kejatuhan nilai ringgit yang semakin merudum sehingga mencecah paras RM4.73 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Anwar turut mengakui nilai ringgit menyusut sebanyak -6.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat.

Beliau turut menyatakan penyusutan nilai ringgit tidak 'separah' mata wang Yen Jepun selain mata wang negara Thailand juga mengalami penyusutan seperti Malaysia.

"Korea (Selatan) lebih kurang sama tetapi Indonesia lebih baik. Indonesia seperti mana yang ditegaskan dalam sidang yang lalu lebih tegas dalam membatalkan subsidi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 11:40 AM