TANGKAP layar video tular memaparkan lelaki mencuri tabung derma sebuah restoran. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar video tular memaparkan lelaki mencuri tabung derma sebuah restoran. FOTO Ihsan Pembaca
Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai mencuri tabung derma sebuah restoran di Ulu Tiram, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohimi Ishak berkata, dalam kejadian 1.10 pagi itu, lima tabung derma yang diletakkan di kaunter restoran terbabit dicuri suspek.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian daripada pemilik restoran berusia 57 tahun pada petang tadi.

"Suspek mencuri lima tabung berisi wang derma dengan nilai kerugian RM300," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah ini diminta menyalurkan maklumat kepada Asisten Superintendan Hapizee Zhlkarnaun Md Puzi di talian 0127532276/07-3864222

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi dua minit 20 saat di aplikasi X memaparkan seorang lelaki memakai topi menyelongkar beberapa laci di kaunter restoran dan kemudian mengambil tabung yang turut diletakkan di kaunter terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 8:28 PM