GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan kes seorang jurujual yang dihukum gantung selepas didapati bersalah mengedar 0.18 kg (184.35 gram) Methamphetamine dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Cheah Wai Luck, 36, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman mati terhadapnya kerana terdapat merit dalam rayuan tersebut.

"Berdasarkan fakta kes ini, kami berpendapat bahawa satu perintah perbicaraan semula adalah wajar supaya pembelaan perayu dapat didengar sewajarnya oleh hakim bicara. Oleh itu, kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula," katanya yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Dalam penghakimannya, Vazeer Alam berkata seorang peguam yang dilantik tertuduh hendaklah menggunakan segala kecekapan profesionalnya untuk membela tertuduh.

"Peguam perlu dapatkan arahan secukupnya daripada tertuduh. Dalam rayuan ini, perayu (Cheah) (sepanjang perbicaraan) ditahan reman, peguam hendaklah berjumpa dan berkomunikasi dengan perayu untuk mendapatkan arahan sewajarnya supaya pembelaan perayu dapat diketengahkan kepada mahkamah secara keseluruhan.

"Dalam kes ini, kami berpuas hati bahawa peguam tidak berjumpa dan mendapatkan arahan sehingga ia telah memudaratkan kes pembelaan. Kami berpuas hati ini adalah satu ketidakadilan kepada perayu. Oleh itu, rayuan terhadap sabitan dan hukuman dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan," kata Vazeer Alam.

Cheah telah merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhkan hukuman mati ke atasnya pada 26 Feb 2021 selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar 184.35 gram Methamphetamine di sebuah kondominium di Setapak, pada 1 pagi, 17 Jun 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Terdahulu, peguam Nur Hayati Omar mewakili Cheah berhujah bahawa peguam perayu tidak berjumpa dengannya (perayu) di penjara dan perayu tidak berpeluang untuk memberitahu perkara sebenar serta membangkitkan penama "Ah Chun" untuk diketengahkan oleh peguam di peringkat pendakwaan.

"Disebabkan kegagalan peguam untuk berjumpa perayu sebelum perbicaraan kes pendakwaan bermula, peranan penting penama 'Ah Chun' di dalam kes perayu gagal dibangkitkan di peringkat pendakwaan kerana 'Ah Chun' mempunyai akses di dalam rumah perayu sebelum perayu ditangkap," katanya yang dibantu peguam Zulkifli Awang.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mangai Krishnan berhujah bahawa adalah tidak adil untuk memutuskan bahawa peguam perayu di Mahkamah Tinggi tidak cekap tanpa memberi peluang kepada mereka untuk menjelaskan sama ada mereka bercakap dengan perayu di mahkamah sebelum atau selepas prosiding dan sama ada perayu memberitahu mereka tentang 'Ah Chun' tinggal di bilik tempat dadah yang dikatakan itu ditemui.

"Tanpa membuktikan fakta ini, pembelaan terhadap ketidakcekapan peguam seharusnya tidak boleh diterima. Adalah tidak adil kepada peguam jika mahkamah ini menerima dakwaan perayu tanpa memberi mereka peluang untuk menerima atau menafikan dakwaan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 6:48 PM