GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Seorang pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melakukan 'sujud syukur' selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman penjara empat tahun dan denda RM117,000 yang dijatuhkan ke atasnya kerana mengemukakan tuntutan palsu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan bahawa rayuan Abu Zahrim Ismail, 48, memiliki merit dan anggapan statutori di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak terpakai dalam kes ini.

"Timbalan Pendakwa Raya telah menggesa mahkamah ini memerintahkan perbicaraan semula. Kami berpendapat perintah itu akan menyebabkan ketidakadilan dan memprejudis perayu (Abu Zahrim).

"Justeru, rayuan perayu dibenarkan dan perintah Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Tinggi diketepikan," kata Vazeer Alam yang bersidang bersama-sama Datuk Supang Lian dan Datuk Seri Mariana Yahya.

Beliau turut memerintahkan perayu dibebaskan daripada pertuduhan itu manakala denda dan jaminan yang sudah dibayar dikembalikan kepada Abu Zahrim, yang telah digantung perkhidmatan sejak 2013.

Hakim itu juga berkata Mahkamah Sesyen ketika memutuskan bahawa satu kes prima facie telah dibuktikan dan mengguna pakai Seksyen 50, telah mengenakan beban pembuktian lebih tinggi ke atas tertuduh yang mengakibatkan prejudis yang serius kepadanya dan mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Panel itu turut memutuskan bahawa keperluan supayaperayu memberi penjelasan berhubung pertuduhan terhadapnya adalah di luar kehendak undang-undang.

"Undang-Undang hanya menghendaki perayu menimbulkan keraguan yang munasabah," kata Vazeer Alam.

Pada prosiding itu, Abu Zahrim diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan M. Athimulan manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke.

Pada 27 Ogos 2018 , Abu Zahrim dijatuhkan hukuman itu oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didapati bersalah mengemukakan tuntutan palsu. Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 10 Mei 2019.

Abu Zahrim dituduh mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembelian 28 unit beg jenama Deuter 75 liter dan 60 unit beg jenama Dry Pack 30 liter.

Dia didakwa memperdayakan ketua pengarahnya berhubung pembekalan beg sandang bernilai RM23,400 menggunakan syarikat Baraplas Kreatif Enterprise di Pejabat Penguasa Perhilitan Taman Negara di Jerantut pada 28 November 2013.

Abu Zahrim didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan mengikut mana lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 9:03 PM