GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang penghantar makanan kekal dipenjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badannya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas menolak rayuan Muhammad Al Hafiz Abu Bakar, 27, selaku perayu untuk mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

"Selepas meneliti rekod rayuan serta alasan penghakiman yang dikemukakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, saya dapati tiada sebarang kesilapan daripada segi fakta dan undang-undang ketika beliau (hakim) menjatuhkan hukuman terhadap perayu.

"Oleh itu, rayuan perayu ditolak, hukuman sedia ada dikekalkan," kata hakim itu.

Muhammad Al Hafiz yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Sofian Jamaludin manakala pihak pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene.

Pada 11 Januari lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas Muhammad Al Hafiz Abu menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan kes itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lapan tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan memiliki dadah dan 12 bulan penjara bagi kesalahan mengambil dadah serta pengawasan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan selama dua tahun.

Bagaimanapun, hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 8 November 2021.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 47.20 gram dan memasukkan dadah itu ke dalam badannya di tepi tangga Blok KP2, di Taman Kuchai Jaya di sini dan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Brickfields, pada 8.30 malam dan 10 malam, 8 November 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan minimum 10 sebatan dan Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan tidak melebihi tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 3:57 PM